.Feast band rock dari Jakarta yang diketuai Baskara Putra mengumumkan konsert “Pertunjukan Membangun & Menghancurkan” di Zepp Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Jun 2026 . Tiket habis. Bukan satu malam. Dua malam. Dalam masa dua jam.
Pada minggu yang sama, Arif Bam pemilik Atas Angin, mengumumkan show terbarunya, SUPASONIK, pada 13 Jun ini di Menara PT80 Kuala Lumpur dengan harga tiket yang berpatutan. Tiket? Masih ada. Tak sold out walapun hampir sebulan dipromosi.

Ini bukan cerita tentang siapa yang lebih bagus. Ini cerita tentang kita.
Soalnya mudah untuk ditanya, tapi kompleks untuk dijawab: kenapa?
Ada satu fenomena yang kita semua nampak tetapi jarang bincangkan secara terus terang: novelty effect. Apabila artis atau band datang dari luar negara, mereka sering hadir dengan satu kelebihan yang sukar diukur. Ada persepsi automatik bahawa mereka lebih besar, lebih penting, lebih berkualiti, atau sekurang-kurangnya lebih berbaloi untuk dibelanjakan wang dan masa.
.Feast bukan band baru. Mereka sudah wujud sejak 2012. Baskara Putra dan rakan-rakannya menghabiskan lebih sedekad membina nama, karya dan pengikut di Indonesia. Apabila mereka tiba di Malaysia, mereka datang sebagai sebuah nama yang sudah terbukti.
Pestapora? Ia datang dengan branding yang besar. Sebuah festival yang dalam masa tiga tahun sahaja berjaya tarik 97,000 penonton di Jakarta. Apabila Latihan Pestapora sampai ke Malaysia, ia bawa sekali reputasi, kredibiliti, dan rasa curiosity yang sukar untuk lokal tandingi.
Kita tidak salahkan sesiapa kerana excited. Ia memang sesuatu yang layak untuk ditunggu-tunggu.Tetapi soalan yang perlu kita tanya diri sendiri: Adakah kita beri peluang yang sama untuk artis tempatan kita bina naratif yang serupa?
Selepas pandemik Covid-19, industri persembahan langsung Malaysia kembali bernafas dengan satu strategi yang mudah difahami. Bawa masuk nama-nama yang sudah terbukti boleh menjual tiket. Dari sudut perniagaan, keputusan itu masuk akal.
Masalahnya, strategi yang sama diulang terlalu lama.
Penonton akhirnya melihat artis yang sama, lagu yang sama dan pengalaman yang hampir sama berkali-kali. Bukan kerana artis itu tidak bagus, tetapi kerana manusia secara semula jadi mencari sesuatu yang baru. Apabila rasa ingin tahu terhadap scene tempatan semakin berkurang, ramai mula mencari alternatif. Dan alternatif yang paling dekat, paling mudah diakses, dan paling serasi dengan budaya kita kebetulan datang dari Indonesia.
Apabila promoter melihat artis Indonesia mampu menjual tiket dengan pantas, mereka melakukan apa yang mana-mana perniagaan akan lakukan iaitu memenuhi permintaan. Tetapi dalam jangka panjang, ruang untuk artis tempatan semakin mengecil.
Jika ada krisis di sini, ia bukan kerana muzik Indonesia terlalu kuat. Mungkin kerana ekosistem kita masih terlalu lemah.
Band-band tempatan beroperasi dalam keadaan yang, jujurnya, tidak adil sejak dari awal. Kebanyakan bergerak secara DIY. Tiada sokongan label besar. Tiada jentera pemasaran yang tersusun. Tiada liputan media yang konsisten untuk membawa mereka keluar daripada kelompok pendengar sedia ada.
Lebih teruk lagi, masih ada yang terpaksa membayar untuk mendapatkan peluang membuat persembahan. Mereka perlu mengejar promoter, menjual diri sendiri berulang kali, dan membuktikan bahawa mereka layak berada di atas pentas. Apabila artis perlu membayar untuk bekerja, kita perlu bertanya semula sama ada itu benar-benar peluang atau sekadar eksploitasi yang dinormalisasikan.
Kita juga perlu mengakui hakikat yang satu ini: industri muzik Indonesia sememangnya lebih besar, lebih matang dan lebih tersusun. Mereka mempunyai populasi yang jauh lebih besar, pasaran yang lebih luas dan ekosistem independen yang telah berkembang lebih awal.
Malaysia masih dalam proses membinanya. Masalahnya, proses itu tidak akan selesai jika kita hanya menjadi pengguna kepada ekosistem orang lain sambil mengabaikan ekosistem sendiri.
Beberapa hari lalu, MKR bertanya di Threads mengapa muzik Indonesia begitu diminati di Malaysia.
Antara jawapan yang paling menarik datang daripada seorang warga Indonesia sendiri:
“itulah malaysia tidak bisa hargai musik sendiri”
Ringkas. Sinis. Tetapi sukar untuk dinafikan.
Ironinya, orang yang artisnya kita sanggup beli tiket sehingga sold out dalam masa dua jam itu sendiri hairan mengapa kita tidak menghargai apa yang kita ada. Mereka nampak sesuatu yang mungkin kita sendiri enggan akui.
Ini bukan serangan terhadap muzik Indonesia. Ini juga bukan seruan supaya kita berhenti menyokong artis luar negara.
Ini cuma satu cermin. Dan mungkin sudah tiba masanya kita kena berani melihat apa yang sedang dipantulkan oleh cermin itu..


COMMENTS