Tamatkan Semua Sekolah Asrama di Malaysia.

Tamatkan Semua Sekolah Asrama di Malaysia.

Ditulis oleh: Si Mawar

Mungkin masalahnya bukan kerana kita kekurangan CCTV, warden atau kempen anti-buli. Mungkin masalahnya ialah kita masih percaya kanak-kanak perlu meninggalkan rumah untuk mendapatkan pendidikan.

Sebelum anda menuduh saya mahu menutup semua asrama dan membiarkan anak-anak pedalaman tidak bersekolah, baca sampai habis. Saya tidak mengatakan semua asrama perlu ditutup esok. Saya mengatakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mula merancang pengurangan besar-besaran model sekolah berasrama dan memperkukuh alternatif yang membolehkan lebih ramai kanak-kanak mendapatkan pendidikan tanpa perlu tinggal berjauhan daripada keluarga.

Pada September 2026, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, seorang pelajar Tingkatan Dua berusia 14 tahun, dilaporkan ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah sebelum meninggal dunia. Polis kemudian menahan dua pelajar Tingkatan Empat bagi membantu siasatan.

Kes ini menambah kebimbangan masyarakat tentang keselamatan kanak-kanak dalam institusi yang sepatutnya menjadi tempat mereka belajar dan membesar dengan selamat. Kes Zara Qairina Mahathir juga masih segar dalam ingatan masyarakat.

Setiap kali tragedi seperti ini berlaku, kita akan mencari siapa yang patut dipersalahkan. Pelajar dikatakan terpengaruh dengan gajet, ibu bapa dituduh gagal mendidik akhlak dan moral, budaya buli dikatakan semakin berleluasa, warden dipersoalkan kerana cuai dan pihak sekolah dianggap tidak cukup tegas.

Kemudian kerajaan tampil dengan penyelesaian yang hampir sama seperti sebelumnya, sama ada menambah CCTV, memperketat peraturan, melantik lebih ramai warden, menggunakan bekas tentera untuk mengurus disiplin ataupun melancarkan kempen anti-buli.

Beberapa ketika kemudian, apabila kes baharu berlaku, kita kembali ke titik yang sama. Kita mengulangi perdebatan lama, mencari pesalah dan memperkenalkan langkah baharu seolah-olah masalah ini hanya berpunca daripada kekurangan pengawasan atau kelemahan disiplin. Tetapi berapa lama lagi kita mahu mengulang kitaran ini sebelum berani mempersoalkan sistem yang kita pertahankan?

Adakah sistem asrama masih merupakan cara yang paling masuk akal untuk mendidik anak-anak Malaysia?

Masalahnya, kita sudah meminta sekolah melakukan sesuatu yang jauh lebih besar daripada mendidik. Dalam sistem berasrama, sekolah bukan sahaja bertanggungjawab terhadap pembelajaran murid, malah turut mengambil alih sebahagian besar urusan penjagaan harian mereka. Murid tidur di situ, makan di situ, berkawan, bergaduh, menangis dan membesar di situ. Bagi sesetengah kanak-kanak, asrama menjadi rumah kedua; bagi yang lain, ia mungkin tempat mereka berdepan masalah yang sukar diluahkan kepada keluarga.

Pada pukul dua atau tiga pagi, siapakah yang menjaga anak anda? Jangan jawab bahawa pelajar sepatutnya tidur pada waktu itu. Kita sendiri tahu bahawa kanak-kanak dan remaja tidak sentiasa membuat keputusan yang rasional, lebih-lebih lagi ketika berdepan tekanan rakan sebaya, konflik dan emosi yang belum matang. Mereka masih memerlukan orang dewasa yang boleh membimbing, mendengar dan bertindak apabila sesuatu berlaku, bukan sekadar peraturan yang perlu dipatuhi.

Masalah paling besar dengan asrama ialah kita sudah meminta sekolah melakukan sesuatu yang jauh lebih besar daripada mendidik. Ia sudah menjadi seperti caregiver. Murid tidur di situ, makan, menangis dan marah di situ. Pukul dua atau tiga pagi, siapakah yang menjaga anak anda? Jangan jawab, “Pelajar sepatutnya tidur.” Kita sendiri pun tak tidur lagi pada waktu itu. Mereka boleh membuat keputusan yang bodoh pada waktu malam kerana mereka memang masih kanak-kanak.

Saya teringat akan novel Lord of the Flies karya William Golding, yang meneroka bagaimana kuasa, ketakutan dan hierarki boleh terbentuk apabila sekumpulan kanak-kanak terpisah daripada struktur masyarakat dewasa. Saya tidak mengatakan pelajar asrama ialah sekumpulan manusia liar seperti yang digambarkan dalam novel itu. Namun, persoalan tentang hubungan kuasa dalam kalangan kanak-kanak tetap relevan, khususnya apabila pengawasan orang dewasa tidak berfungsi dengan berkesan dan mangsa sukar mendapatkan bantuan.

Kanak-kanak tidak sepatutnya dipaksa mengurus dunia mereka seolah-olah mereka sudah dewasa. Mereka memerlukan ruang untuk berdikari, tetapi berdikari tidak bermaksud dibiarkan menyelesaikan konflik sendiri tanpa sokongan yang mencukupi. Sebab itulah kita perlu bertanya sama ada masalah keselamatan di asrama boleh diselesaikan hanya dengan menambah tenaga pengawasan, atau sama ada kita perlu turut menilai semula keperluan menempatkan begitu ramai kanak-kanak dalam institusi kediaman.

Dalam Belanjawan 2026, KPM diperuntukkan RM66.2 bilion. Jumlah ini menunjukkan skala sumber yang digunakan untuk mengurus sistem pendidikan negara, tetapi kita juga perlu bertanya bagaimana sumber tersebut boleh dimanfaatkan dengan lebih berkesan. Setiap sekolah berasrama memerlukan bangunan, bekalan air dan elektrik, makanan, penyelenggaraan, keselamatan, tenaga kerja serta pelbagai perbelanjaan operasi.

Menyediakan tempat tinggal kepada murid bukan sesuatu yang percuma, dan kosnya tidak berakhir apabila kerajaan membina bangunan asrama.kita bercakap tentang purata kira-kira RM12,000 bagi setiap murid setahun. RM12,000 ialah kos seorang murid di asrama. angka itu tetap berguna untuk kita memahami bahawa pendidikan bukan sekadar soal moral, ia juga soal bagaimana kita memilih untuk menggunakan wang yang terhad.

Saya tidak mengatakan semua wang itu boleh disimpan sekiranya asrama ditutup. Murid masih memerlukan guru, kemudahan pembelajaran, pengangkutan dan sokongan pendidikan yang lain. Menganggap penutupan asrama secara automatik akan menjimatkan semua kos merupakan hujah yang terlalu mudah. Persoalan yang lebih penting ialah sama ada sebahagian daripada sumber tersebut boleh digunakan dengan lebih baik untuk memperkukuh sekolah harian, khususnya di kawasan miskin dan pedalaman yang masih berdepan kekurangan kemudahan.

Bayangkan jika sekolah harian mempunyai makmal Sains yang lengkap, internet yang benar-benar berfungsi, kaunselor yang mencukupi dan program selepas sekolah yang berkualiti. Bayangkan jika murid boleh pulang ke rumah setiap petang tanpa terpaksa mengorbankan akses kepada pendidikan yang baik. Kita tidak semestinya perlu memilih antara pendidikan berkualiti dengan kehidupan bersama keluarga, tetapi sistem sedia ada kadangkala membuatkan pilihan itu kelihatan seperti sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Asrama memang boleh menjadi tangga untuk keluar daripada kemiskinan, tetapi saya persoalkan mengapa tangga itu mesti bermula dengan seorang kanak-kanak meninggalkan rumahnya. kita terlalu selesa dengan idea bahawa anak kampung perlu keluar dari kampung untuk berjaya. Anak Orang Asli perlu keluar dari komuniti. Anak Sabah dan Sarawak perlu dihantar jauh. Kemudian kita panggil itu mobiliti sosial. Tetapi mungkin ada cara yang lebih baik. 

Pada 2015, tujuh murid Orang Asli dari SK Pos Tohoi di Gua Musang melarikan diri dari asrama kerana takut dikenakan tindakan selepas mandi di sungai. Mereka kemudiannya hilang selama 47 hari dan hanya dua daripada tujuh kanak-kanak itu yang terselamat. Lima meninggal dunia. Kes itu sepatutnya membuat kita berfikir bahawa apabila seorang kanak-kanak terlalu takut terhadap sistem sehingga sanggup melarikan diri ke dalam hutan, masalahnya mungkin lebih besar daripada sekadar disiplin seorang murid. 

Malaysia pada 2026 sebenarnya mempunyai lebih banyak kemampuan teknologi. Kita mempunyai internet, satelit, video conference, peranti digital dan sekarang kerajaan sendiri begitu teruja bercakap tentang kecerdasan buatan. Jadi kenapa apabila bercakap tentang pendidikan anak di pedalaman, imaginasi kita masih terhenti pada katil asrama? 

Kenapa tidak membina pusat pembelajaran komuniti kecil dengan guru, internet, makmal asas dan kemudahan digital? Kalau masalahnya ialah sekolah terlalu jauh, mungkin jawabannya bukan sentiasa memindahkan budak; mungkin kita patut memindahkan pendidikan. 

Di Australia, School of the Air sudah menggunakan radio sejak 1951 untuk menghubungkan kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman dengan guru; teknologi itu kemudiannya berkembang kepada sistem pembelajaran berasaskan internet. 

Di Mexico pula, CONAFE menggunakan model pendidikan komuniti dengan melatih pendidik untuk berkhidmat dalam komuniti yang sukar mendapat akses kepada sekolah konvensional Golongan muda dilatih menjadi Educadores Comunitarios dan ditempatkan untuk membantu pendidikan di komuniti berkenaan.

Konsepnya bukan sekadar “ambil budak kampung, bawa dia keluar”. Sebaliknya, pendidikan dibina bersama komuniti. Teknologi sepatutnya digunakan untuk menghapuskan jarak, bukan sekadar membantu kita mengurus sistem lama.

Kalau AI boleh membantu seorang guru menyediakan bahan pembelajaran, menterjemahkan kandungan, memberikan latihan adaptif dan menghubungkan pelajar dengan pakar dari tempat lain, kenapa kita masih berfikir seolah-olah satu-satunya cara mendapatkan guru berkualiti ialah menghantar budak ke bandar?

Mungkin sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan berhenti bertanya bagaimana mahu menjadikan asrama lebih sempurna dan mula bertanya sama ada kita masih memerlukan begitu banyak asrama pada masa hadapan. Mungkin kita tidak perlu membina pagar yang lebih tinggi, tetapi sekolah yang lebih dekat. Kita tidak perlu menghantar lebih ramai kanak-kanak ke bandar, tetapi membawa lebih banyak pendidikan ke kampung. Kita tidak perlu terus mencari manusia untuk dipersalahkan setiap kali tragedi berlaku, tetapi berani mengakui bahawa sistem yang kita bina juga boleh dipersoalkan.

Asrama mungkin pernah menjadi jawapan terbaik untuk Malaysia pada suatu ketika dahulu. Tetapi sebuah negara tidak sepatutnya terperangkap dalam jawapan lama hanya kerana kita sudah terlalu lama menggunakannya.

Penulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendiriran MyKampus Radio.