Pada malam 10 Oktober, ODEON KL menjadi saksi pertemuan dua nama besar muzik indie Malaysia apabila OAG dan The Times berkongsi pentas menerusi Disko Dansa Generasiku, sebuah konsert anjuran Rockstation. Persembahan ini turut menyaksikan Radhi dan Naza kembali bermain bersama, mengimbau era OAG sekitar 2000 hingga 2004 menerusi lagu-lagu daripada album Opera Radhi-O Friendly dan Satelit Ink.

Konsert yang habis dijual itu menghimpunkan kira-kira 2,000 penonton di panggung wayang lama tersebut seawal jam 8 malam. Kehadiran peminat daripada pelbagai generasi membuktikan bahawa muzik OAG dan The Times masih mempunyai tempat dalam kalangan pendengar tempatan, meskipun zaman kegemilangan muzik indie yang membesarkan nama mereka sudah lama berlalu.

kredit: mercikkk.com official
Kedua-dua band ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Sebut sahaja Slumber atau Gadisku Dalam Koma, lagu-lagu ini cukup untuk membawa pendengar kembali ke zaman muzik alternatif tempatan mula membina identitinya sendiri. Antara sumbangan penting OAG ialah keberanian mereka membawa muzik alternatif dalam bahasa Melayu, khususnya menerusi album Satelit Ink.

album Satelit Ink oleh OAG (2003) Positive Tone
Pada ketika muzik Indonesia begitu popular dan menjadi kegilaan sebahagian peminat tempatan, OAG muncul dengan pendekatan tersendiri yang mampu mencipta fenomena tanpa perlu meniru acuan seberang. Dengan bunyi muzik alternatif yang tersendiri dan lirik bahasa Melayu, OAG membantu mengalihkan perhatian pendengar kepada karya anak tempatan, sekali gus membentuk identiti muzik alternatif Malaysia yang kita kenali sekarang.
Selepas meninggalkan OAG, Naza meneruskan perjalanan muziknya bersama The Times, yang ditubuhkan pada 2004. Band tersebut kemudiannya menghasilkan album seperti Soda Pop Rok ‘N’ Roll, Nada Melankolik Malaya dan Modern Minimalis Glamour, sekali gus membina cult follwing yang tersendiri

Modern Minamalis Glamour oleh The Times (2008) Gizmo Records
Hampir jam 9 malam, saya mula melihat segelintir penonton kelihatan resah. Mungkin mereka takut bakal disidai oleh band malam itu. Namun, keresahan tersebut mula hilang apabila The Times membuka persembahan dengan lagu Pesona Algebra. Penonton kelihatan santai menikmati persembahan The Times. Tidak ramai yang melompat; kebanyakannya sekadar melayan lagu-lagu yang dimainkan atau terpegun melihat Naza yang memakai parka!

Naza Gallagher eh bukan Naza Mohamad! (kredit gambar The Times)
Melihat suasana ketika itu, saya mula menyangka bahawa malam tersebut tidak akan membuatkan saya berpeluh. Tambahan pula, pengudaraan di dalam ODEON KL cukup nyaman. Mana mungkin saya berpeluh malam itu, fikir saya.
Rupa-rupanya saya terlalu awal membuat kesimpulan.
Selepas persembahan The Times berakhir, penonton kembali resah. Kali ini bukan kerana kehausan, tetapi kerana mereka sudah cukup masak dengan perangai OAG pimpinan Radhi apabila membuat persembahan live. Dengan reputasi dan jangkaan yang mengiringi nama OAG, peminat tentunya mahu melihat Radhi memberikan persembahan yang setimpal dengan bayaran.
Sebaik sahaja Spastic Youth dimainkan, suasana terus berubah. Penonton mula tidak keruan, seolah-olah tidak sabar mahu melepaskan segala tenaga yang disimpan sejak awal malam. Saya terus meluru ke tengah crowd, melompat dan melakukan pogo dance. Siapa sangka, rupa-rupanya ramai juga yang dahagakan suasana seperti ini. Kawasan di hadapan pentas mula bertukar menjadi lautan crowd surf. Gila!
Keadaan semakin menggila apabila Radhi bersama gitar Fendernya mula membisikkan kata-kata keramat, “This song is called…” Peminat OAG sudah cukup mengenali ungkapan tersebut. Mereka mengetahui apa yang bakal menyusul. Radhi pula sudah benar-benar ‘kembali’ malam itu, energetic dan flamboyant seperti yang pernah dikenali peminatnya dahulu.

Radhi bersama gitar Fendernya. aura! (kredit mercikkk.com official)
Apabila 60’s TV dimainkan dengan tempo yang lebih pantas, saya semakin yakin bahawa Radhi datang untuk memberikan persembahan yang dinanti-nantikan. Aura ‘rockstar’ yang selama ini hidup dalam ingatan peminat kembali dirasai di atas pentas, sementara crowd terus menikmati lagu demi lagu dengan tenaga yang sukar dibendung.
Sudah tentu, bukan semua orang selesa melihat keadaan di tengah crowd yang semakin kacau. Ada juga penonton yang kelihatan kurang senang dengan kegilaan tersebut. Mungkin mereka sudah terbiasa menonton konsert Wings, atau barangkali sudah penat berdiri sejak awal malam. Apa pun, maaflah. Malam itu saya kembali menjadi diri korang dahulu di Piccadilly Tea Dance!
Suasana bertambah meriah apabila segmen Satelit Ink dimainkan. Pada mulanya, saya menyangka pertemuan ini akan menyaksikan keseluruhan barisan OAG era 2000 hingga 2004 kembali bersama. Sebaliknya, hanya Radhi dan Naza yang kembali berkongsi pentas, digabungkan dengan barisan terkini OAG dan The Times. Walaupun bukan reunion penuh seperti yang saya bayangkan, peluang menyaksikan dua figura ini bermain bersama sudah cukup bermakna.

Impian waktu kecil saya tercapai. (kredit mercikkk.com official)
Ketika lagu Konspirasi Bising International dimainkan, satu momen kelakar pula berlaku apabila Radhi tersalah ‘cue’ lagu tersebut sehingga mereka terpaksa memulakannya semula. Mungkin sudah terlalu lama lagu daripada Satelit Ink tidak dibawakan secara langsung sehingga Radhi sendiri terlupa. Nampaknya, malam reunion ini bukan sahaja mengembalikan kenangan peminat, malah turut menguji ingatan Radhi terhadap lagu-lagu lamanya sendiri!
Lebih menarik, saya dapat menyaksikan Radhi menyanyikan lagu-lagu milik The Times. Pertemuan seperti inilah yang menjadikan Disko Dansa Generasiku lebih daripada sekadar konsert nostalgia. Ia mempertemukan semula dua figura yang pernah berkongsi perjalanan muzik, di hadapan penonton yang sebahagiannya mungkin membesar dengan karya mereka.
Walaupun Radhi dan Naza kelihatan semakin kepenatan, kedua-duanya tetap memberikan tenaga sehingga ke penghujung persembahan. Malam tersebut akhirnya ditutup dengan Don’t Look Back in Anger oleh Oasis. Selepas segala kegilaan di hadapan pentas, lagu itu menjadi penutup yang sesuai untuk malam tersebut.
Saya percaya ramai penonton akan mengambil masa untuk move on daripada konsert ini. Bukan semata-mata kerana mereka dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan OAG dan The Times, tetapi kerana mereka berpeluang menyaksikan sendiri Radhi dan Naza kembali berkongsi pentas. Rakaman telefon daripada malam tersebut mungkin akan terus berlegar di media sosial untuk beberapa minggu ini.
Tahniah kepada Rockstation kerana berjaya menghimpunkan peminat daripada pelbagai generasi dalam sebuah acara yang cukup bermakna buat muzik alternatif Malaysia. Terima kasih kepada OAG dan The Times kerana memberikan kami peluang menyaksikan pertemuan ini.

kredit (mercikkk.com official)

