Stop Diam, Start Lawan Buli! USM Gerak Kempen #BeraniSayNo

GEORGE TOWN- Isu buli dalam kalangan pelajar sekolah masih belum reda. Sebagai langkah proaktif, pelajar Tahun Akhir Komunikasi Strategik Universiti Sains Malaysia (USM) tampil mengambil peranan dengan melancarkan kempen kesedaran anti-buli bertajuk #BeraniSayNo.

Kempen ini dianjurkan oleh Agensi U.N.M.U.T.E di bawah kursus YKT311 dan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Befrienders serta tiga buah sekolah menengah di Pulau Pinang.

Fokus utama kempen ini ialah untuk memberi kesedaran kepada pelajar sekolah menengah tentang isu buli, keselamatan diri serta peranan penting pemerhati atau bystanders dalam menghentikan perlakuan buli. Ringkasnya, kempen ini mahu pelajar faham bahawa diam bukan satu pilihan, berani bersuara itu penting.

Program #BeraniSayNo dilaksanakan di SMK Raja Tun Uda, SMK Bukit Gambir dan SMJK Phor Tay, melibatkan lebih 1,000 orang pelajar secara keseluruhan. Sepanjang program, pelajar akan terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti sesi ceramah oleh PDRM dan Befrienders, aktiviti interaktif, pameran kesedaran serta ikrar anti-buli.

Semua aktiviti ini direka supaya pelajar bukan sekadar mendengar, tetapi turut terlibat secara aktif, berfikir dan membuat refleksi tentang peranan mereka dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat.

#BeraniSayNo bukan sekadar kempen, tetapi satu usaha untuk mendidik pelajar bahawa tindakan kecil oleh seorang pemerhati boleh mengubah keadaan dan menghentikan rantaian buli. Well done USM!