“Make Indie Festival Great Again.”
Itu yang tertulis pada sebuah banner yang dipegang oleh Iqbal dari Iqbal M. sebelum beliau menjadi angkasawan di SoundCircus Festival 2026 yang dianjurkan oleh Art of Speed.
Ayat itu mungkin hanya sebuah quote di atas banner. Tapi buat masa ini, ia terasa lebih macam realiti yang tak lagi wujud di Malaysia.
Art of Speed ialah acara tahunan Kustom & Counter Culture terbesar di Malaysia, berlangsung di MAEPS, Serdang pada 1 dan 2 Ogos 2026. Seperti tahun-tahun sebelumnya, SoundCircus Festival, sebuah festival musik kembali menjadi antara tarikan utama untuk edisi ke-15 Art of Speed.
Edisi tahun ini merupakan SoundCircus Festival (SCF) terbesar setakat ini, dengan enam pentas yang tersebar di seluruh kawasan MAEPS. Barisan artis 2026 menampilkan nama-nama seperti Sukatani, Jemput Dengar featuring Sheila Majid, Nadin Amizah, Disagree, Johnny Pandora, Dannqrack & Eemrun, The SIGIT, SLATAN 0108 dan Hujan.

Daripada sebuah gig berskala kecil yang bermula pada 2017, SCF berkembang menjadi salah satu acara yang boleh dianggap sebagai pilgrimage wajib buat peminat muzik dan budaya alternatif di Malaysia. Tanpa kita sedari, SCF sebenarnya merupakan salah satu blueprint terbesar untuk penganjuran festival muzik berskala besar di negara ini. Pada ketika kita kehilangan satu demi satu festival muzik, daripada ketiadaan Hausboom Music pada 2026, hinggalah Atas Angin Festival yang telah melabuhkan tirainya tahun ini. Satu perkara menjadi semakin jelas:
Ekosistem muzik Malaysia masih belum cukup kuat untuk memastikan festival muzik dapat bertahan dalam jangka masa panjang.
Kos penganjuran yang tinggi, risiko kewangan, jualan tiket yang tidak menentu dan kurangnya sokongan ekosistem menyebabkan banyak festival sukar untuk terus hidup. Perkara ini sendiri disentuh oleh pengasas Art of Speed, Asep Ahmad Iskandar, dalam satu temubual bersama VOCKET.
Abang Asep pernah menyifatkan penganjuran acara dan konsert sebagai antara bisnes yang paling sukar untuk menghasilkan keuntungan:
“Event dan konsert ialah bisnes paling bodoh sekali, tak ada bawa untung pun.”

Abang Asep sendiri mengakui betapa sukarnya buat bisnes event dan konsert. Art of Speed masih mampu bertahan sehingga hari ini kerana mereka tidak bermula dengan festival musik. Art of Speed membina sesuatu yang lebih besar di sekelilingnya dahulu.
Itulah perbezaan antara menganjurkan sebuah acara dengan membina sebuah ekosistem.
Apabila kita hanya menganjurkan acara, kita bergantung kepada lineup. Tetapi apabila kita membina ekosistem, kita membina komuniti yang akan terus datang walaupun lineup berubah. Sebuah komuniti boleh menjadi model ekonomi budaya.
Sesebuah festival hanya menggunakan nama artis yang sama berulang kali, menjual tiket pada harga yang tinggi dan tidak memberi ruang kepada scene tempatan, ia mungkin berjaya secara komersial tetapi belum tentu membantu membina ekosistem muzik.
Festival yang benar-benar membina ekosistem sepatutnya mempunyai keseimbangan antara nama besar dan nama baharu. Kalau kita hanya membina festival untuk mengejar jumlah penonton, kita mungkin sedang membina sebuah industri hiburan. Tetapi kalau kita membina festival untuk membina komuniti, memberi ruang kepada artis baharu dan mempertemukan pelbagai lapisan scene, kita sedang membina ekosistem muzik.
Art of Speed lakukan semua itu selama ini. Mereka membina komuniti dan budaya terlebih dahulu.
Indonesia mempunyai ekosistem festival muzik yang jauh lebih besar dan pelbagai berbanding Malaysia. Festival seperti Pestapora dan Synchronize Fest telah menjadi antara acara yang sanggup didatangi oleh peminat muzik Malaysia kerana ekosistem muzik mereka jauh lebih besar dan matang. Sokongan daripada pihak swasta, kerajaan, industri kreatif dan komuniti membantu memastikan festival muzik di sana terus berkembang.
Malaysia masih mencari formula itu. Dalam keadaan satu demi satu festival menghilang, SCF mungkin kini menjadi antara contoh paling jelas tentang bagaimana sebuah festival boleh bertahan dan berkembang.
SCF mungkin kini menjadi cita-cita terbesar buat band-band dan peminat muzik di Malaysia, sebuah pentas yang mereka mahu capai, sebuah festival yang mereka mahu hadiri. Kita tidak sepatutnya sampai ke satu tahap di mana hanya satu festival yang tinggal dan kita menganggapnya sebagai kejayaan. Kita memerlukan lebih banyak SCF.
Kerana sebuah scene muzik yang sihat tidak sepatutnya bergantung kepada satu festival sahaja.

