Selangor Football Music 2026: Selebrasi yang Terakhir?

Selangor Football Music 2026: Selebrasi yang Terakhir?

The Spine PJ menjadi saksi kepada berlangsungnya Selangor Football Music (SFM) 2026 pada 26 Julai 2026. Hampir 1,000 penyokong bola sepak dan pencinta muzik dari seluruh Malaysia berkumpul untuk meraikan festival unik yang menggabungkan budaya terrace dan muzik alternatif. Dianjurkan oleh Triple F (Football, Friends & Family) festival ini menampilkan barisan pemuzik dari Malaysia dan Indonesia serta pelbagai aktiviti seni, dalam usaha meraikan hubungan erat antara bola sepak, muzik dan komuniti.

Penampilan sulung band dari Sleman, Indonesia, Over Distortion, menjadi antara tarikan utama. Band lokal yang membuat persembahan ialah, Uncure, Hafizcano, Passion & Pride, Null, Medlar, Alebois,1936 Bois, Gallagher, Des Panik!, Kru$ty dan debut NTSB, nama baharu daripada keluarga 1936 Bois.

Menurut Cok, individu yang menjadi tunjang utama di sebalik SFM, festival ini bermula daripada sesuatu yang cukup sederhana. Sekadar idea yang lahir daripada sesi lepak dan sembang bersama rakan-rakan. Daripada minat terhadap bola sepak dan muzik, muncul impian untuk membina sebuah ruang yang meraikan budaya penyokong bola sepak tempatan.

Sambutan memberangsangkan terhadap edisi pertama pada tahun 2024 menjadi pemangkin untuk sesuatu yang lebih besar. Apa yang asalnya hanya sebuah gig berkembang menjadi festival berskala penuh. Tiga tahun kemudian, SFM 2026 muncul sebagai edisi paling besar dan paling bercita-cita tinggi pernah dianjurkan.

Namun SFM bukan sekadar persembahan muzik. Festival ini turut membuka ruang kepada komuniti seni menerusi Galaksi Seni, sebuah ruang yang menghimpunkan pengkarya tempatan seperti Perempuan Melawan Art, Najhank, RahimRafie dan ilustrator bola sepak, Izwan Aziz menjadikan SFM lebih daripada sekadar festival muzik, tetapi sebuah pertemuan budaya yang meraikan kreativiti dalam pelbagai bentuk.

Seawal jam 3 petang, suasana festival sudah mula membara. Chants bergema tanpa henti, flare budaya bola sepak dapat dilihat di setiap sudut, manakala set DJ Bonai memastikan tenaga penonton kekal tinggi sehingga malam. Apa yang menarik, majoriti pengunjung hadir dengan identiti football terrace yang sangat kuat, namun mereka menerima hampir semua genre muzik yang dipersembahkan. Hardcore? Layan. Trance? Layan. Apa sahaja yang dimainkan di pentas, semuanya disambut dengan semangat yang sama!

Ketika ramai menyangka tenaga penonton sudah mula berkurangan menjelang malam, kemunculan Over Distortion membuktikan sebaliknya. Lagu-lagu seperti Penjelajah Kota dan Selebrasi mencetuskan ledakan emosi baharu. Penonton menyanyi, melompat dan berpelukan seolah-olah baru memasuki festival. Sebagai bonus yang cukup pelik tetapi menghiburkan, band itu turut mengagihkan buah oren kepada penonton, mencipta satu lagi momen yang akan terus diceritakan selepas festival berakhir.

Di sebalik segala kegembiraan itu, terselit juga satu berita yang membuatkan ramai tertanya-tanya tentang masa depan festival ini. Menurut Cok, SFM 2026 berkemungkinan menjadi edisi terakhir buat sementara waktu. Selepas tiga tahun mengendalikan festival yang semakin membesar, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk berehat.

Namun pintu masih belum tertutup sepenuhnya.

Menurutnya, jika permintaan untuk edisi seterusnya melebihi apa yang ditunjukkan tahun ini, kemungkinan SFM akan diteruskan. Cabarannya ialah SFM 2026 mungkin sudah menghampiri siling tertinggi yang mampu dicapai oleh festival ini dalam bentuknya sekarang. Dengan jangkaan penonton yang semakin tinggi, usaha untuk menjadikan edisi akan datang lebih besar dan lebih menarik bukanlah sesuatu yang mudah.

Jika SFM kembali, mungkin sudah tiba masanya untuk festival ini bereksperimen dengan lebih banyak pengisian komuniti, aktiviti interaktif dan penyertaan lebih ramai artis wanita bagi menjadikan pengalaman festival ini lebih pelbagai dan inklusif.

Apa pun yang berlaku selepas ini, kehilangan SFM akan meninggalkan satu vakum besar dalam landskap muzik tempatan. Tiada festival lain yang benar-benar menggabungkan budaya bola sepak dan muzik seperti yang dilakukan oleh SFM. Dalam keadaan banyak festival menawarkan formula yang hampir sama, SFM berjaya mengekalkan identitinya sendiri, autentik, organik dan lahir daripada komuniti yang benar-benar hidup.

SFM bukan sekadar festival. Ia adalah bukti bahawa bola sepak dan muzik sentiasa mempunyai bahasa yang sama. Kedua-duanya menyatukan orang asing, mencipta memori kolektif dan memberi ruang kepada komuniti untuk meraikan identiti mereka.

Terima kasih kepada seluruh kru SFM, para pemuzik, vendor dan semua yang hadir menjadikan SFM 2026 sebuah festival musik yang sukar dilupakan.

Jika ini benar-benar penghujungnya, ia adalah penamat yang cukup indah.

Jika bukan, sampai jumpa di selebrasi yang seterusnya.

COMMENTS