Bila saya tengok Napalm Death muncul di Tiny Desk Concert, satu persoalan tiba-tiba muncul dalam kepala: Malaysia tak ada live session ke?
Alep pun Google. cari live session Malaysia. Dan algoritma menemukan Alep kepada PLAYLOUD. Channel baru yang muncul dari entah mana yang membuat live sessions. Alep ingin tahu siapakah insan di sebalik channel baru ini.
Seperti Argentina yang ditakdirkan ke final World Cup, alep akhirnya bertemu dengan Naim Junaidi, salah seorang founder dan individu di belakang PLAYLOUD.
Ketika Alep menulis ini, PLAYLOUD baru berusia kira-kira tiga bulan. Pertemuan saya dengan Naim membuka satu sisi yang jarang kita nampak di sebalik kamera sisi pedih dalam menghasilkan live session secara mandiri. Menurut Naim, idea ini datang daripada fenomena live session yang banyak muncul di Indonesia. Beliau kemudian tertanya-tanya:
“Kenapa dekat Malaysia tak banyak benda macam ni?”
Daripada persoalan itu, Naim bersama beberapa orang rakan mengumpulkan semangat, tenaga dan sedikit keberanian untuk memulakan PLAYLOUD. Channel ini lahir sepenuhnya daripada usaha sendiri, tidak seperti KEXP atau pun Tiny Desk yang mempunyai syarikat besari di belakangnya. Tanpa dibiayai oleh mana-mana pihak, hanya empat orang yang bekerja di belakang tabir, semuanya bergerak atas dasar semangat setia kawan.
Berpangkalan di Klang, PLAYLOUD memberikan peluang kepada band dan artis tempatan untuk membina portfolio serta memperkenalkan muzik mereka melalui rakaman persembahan secara langsung.
Mereka hanya buat. Setakat ini, sudah lebih tiga band menghiasi pentas PLAYLOUD. Objektif mereka cukup jelas: PLAYLOUD mahu menjadi tempat yang boleh dituju oleh band indie dan artis tempatan untuk merakam live session mereka sendiri.
Pada waktu Malaysia semakin ketandusan live sessions, PLAYLOUD muncul sebagai salah satu usaha kecil untuk mengisi ruang yang ditinggalkan oleh platform-platform terdahulu. PLAYLOUD mahu meneruskan usaha ini. Mereka juga terbuka untuk menerima band dan artis yang mahu merakamkan persembahan mereka. Naim turut menyatakan bahawa mereka sedia menerima sponsorship dan collaboration untuk membantu menaikkan semula budaya live session dalam scene tempatan.
Baru-baru ini, PLAYLOUD juga mula bereksperimen dengan konsep yang sedikit berbeza apabila menganjurkan gig ‘main Kuat’ di Soul 182, Klang yang menampilkan tiga band iaitu Swan Blue, Living With Ghost dan Insiden Ruang Legar.
Bagi Naim, impian yang lebih besar adalah untuk PLAYLOUD menjadi salah satu channel terbesar di Malaysia. Beliau juga mahu channel ini menjadi satu ekosistem di mana band-band tempatan mempunyai tempat untuk diperkenalkan, dilihat dan didengari. Kita selalu bercakap tentang bagaimana scene muzik Malaysia memerlukan lebih banyak ruang. Lebih banyak venue, lebih banyak festival, lebih banyak media.
Tetapi kita juga perlukan sesuatu yang lebih asas: Seseorang yang sanggup menekan butang record. kadang-kadang, scene hanya memerlukan empat orang anak muda, sebuah kamera, sedikit masa dan keberanian untuk bermimpi.
Dan PLAYLOUD sedang cuba melakukannya. Anda boleh mengikuti PLAYLOUD di semua platform media sosial. Jangan lupa untuk subscribe channel YouTube mereka.


COMMENTS