Ada album yang lahir daripada sesi studio bernilai ribuan ringgit. Ada juga yang lahir daripada sesuatu yang lebih sunyi dan lebih peribadi.
my guitar, the voicenotes that finally made it out from my phone and I, EP terbaharu daripada Andi Zephyr, bermula sebagai koleksi rakaman suara yang tersimpan di dalam telefon bimbitnya selama sedekad.
Pertemuan Alep dengan penyanyi berusia 35 tahun dari Tampin, Negeri Sembilan itu berlaku secara tidak dirancang. Bermula dengan pembelian rilisan fizikalnya, ia kemudian membawa kepada perbualan ringkas di Sua Store 616, Shah Alam. Dalam masa yang singkat itu, terbuka sebuah kisah yang jauh lebih besar daripada sekadar proses menghasilkan muzik.
Di sebalik lima lagu yang terkandung dalam EP ini tersimpan 10 tahun perjalanan hidup, keraguan, trauma dan usaha untuk terus bertahan.
Andi, yang juga merupakan vokalis band skramz Thawr, menjelaskan bahawa kebanyakan lagu tersebut bermula sebagai voicenote yang dirakam secara spontan ketika melalui pelbagai episod penting dalam hidupnya. Ada yang dirakam selepas beliau terlibat dalam kemalangan yang melibatkan ibunya sendiri. Ada juga yang lahir ketika beliau berada di titik paling gelap dalam hidup sehingga pernah terfikir untuk menamatkan hidupnya.
Namun rakaman-rakaman itu pada asalnya tidak pernah dirancang untuk menjadi sebuah rilisan.
“Saya simpan lama sebab saya tak rasa ia cukup bagus. Lagu-lagu ini terlalu peribadi. Saya tak nak letakkan di band Thawr sebab ini bukan cerita mereka. Ini cerita saya.”
Apabila keadaan hidupnya mula bertambah baik, beliau kembali mendengar semula rakaman-rakaman tersebut.
“Bila keadaan semakin baik, saya mula dengar semula rakaman-rakaman itu. Dengan sokongan kawan-kawan dalam scene, saya nekad untuk rakam semua voicenote ini menjadi lagu sebenar.”
Apa yang menarik, EP ini tidak cuba menyembunyikan asal-usulnya.
Susunan muziknya sangat minimal. Petikan gitar yang ringkas, vokal yang hampir tidak disunting serta produksi yang sengaja dibiarkan kosong di beberapa bahagian menjadikan keseluruhan karya ini terasa lebih seperti catatan diari berbanding sebuah rilisan komersial.
“Kalau dengar betul-betul, semua lagu ada dua chord je. Saya memang tak pandai main gitar. Semua ni direkod dalam masa sehari sahaja dekat studio kawan saya.”
Bukan sekadar muzik, visual EP ini juga lahir daripada pengalaman peribadinya.
“Lukisan yang ada dekat EP ni 100% saya yang buat. Tema dia spacey macam tu sebab waktu tu saya rasa nak lari daripada bumi. Dekat bulan kan tak ada manusia. Saya nak duduk diam dekat situ.”
Kesederhanaan itu rupa-rupanya menjadi kekuatan utama EP ini.
“Bila kawan saya yakinkan format macam ni pun okay, saya teruskan. Saya tak sangka sambutannya begitu baik sampai dapat perhatian media seperti Noisy Headspace.”
Dalam landskap muzik yang sering mengejar kesempurnaan teknikal, my guitar, the voicenotes that finally made it out from my phone and I mengingatkan bahawa karya yang paling memberi kesan selalunya lahir daripada kejujuran.
EP ini bukan tentang menjadi penyanyi terbaik atau penulis lagu paling hebat. Ia tentang keberanian untuk membuka luka yang selama ini disimpan sendirian.
Andi turut mengakui sebahagian daripada proses pemulihannya bermula apabila beliau berhenti memendam semuanya seorang diri.
“Saya sedar kalau saya terus berada dalam kitaran yang sama, situasi hidup saya tak akan berubah. Jadi saya mula cari bantuan. Mula kongsi masalah dengan ahli band dan keluarga, lepas tu dengan kawan-kawan.”
Kenyataan itu mungkin kedengaran mudah, tetapi bagi mereka yang pernah berdepan cabaran kesihatan mental, langkah pertama untuk meminta bantuan sering menjadi langkah yang paling sukar.
Sebab itu EP ini terasa lebih besar daripada sekadar sebuah rilisan DIY.
Dalam keadaan isu kesihatan mental masih dianggap sensitif untuk dibincangkan secara terbuka, khususnya dalam kalangan orang muda di Malaysia, karya seperti ini membuka ruang kepada perbualan yang sering dielakkan.
Ia bukan terapi dan bukan pengganti bantuan profesional.
Namun seperti karya seni yang baik, ia mampu membuat seseorang rasa difahami dan kurang bersendirian.
Kepada mereka yang sedang bergelut dengan masalah yang sama, Andi turut menitipkan pesanan:
“Jangan putus asa. Jangan malu untuk cari bantuan. Keluar daripada kitaran yang sama. Ramai orang sayang awak. Jangan rasa awak hadap semua ini seorang diri.”
“Kalau saya boleh lalui semua ini, takkan awak tak boleh?”
Selepas 10 tahun tersimpan di dalam telefon bimbit, voicenote-voicenote itu akhirnya menemui pendengarnya dan mungkin di suatu tempat, ia sedang menemui seseorang yang benar-benar memerlukan teman untuk terus bertahan.
my guitar, the voicenotes that finally made it out from my phone and I kini boleh didengari di semua platform penstriman digital. lagu ‘Kembali‘ boleh didengari esklusif di Radio online MyKampus Radio. Edisi fizikal EP ini juga boleh didapati di Sua Store 616, Shah Alam.
Andi juga merancang untuk menghasilkan sebuah album penuh serta sebuah komik yang akan menceritakan dengan lebih mendalam perjalanan hidupnya.
Terima kasih kepada Andi Zephyr kerana sudi berkongsi kisah bersama Alep dan Sua Store 616.

