Kami Nak Hak Kami – Foodpanda Rider

Penghantar makanan Foodpanda menggesa syarikat berkenaan untuk mengembalikan skim bayaran asal dan mengancam akan melakukan lebih banyak mogok sekiranya keluhan mereka diabaikan. Rata-rata rider tidak berpuas hati dengan skim bayaran baru yang tidak adil.

Kabinet mendengar keluhan dan kempen mogok yang dilancarkan oleh riders Foodpanda telah membuat keputusan untuk menubuhkan jawatan kuasa khas yang akan dianggotai oleh tiga kementerian iaitu Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Jawatankuasa ini akan bertindak mengkaji mengenai ‘gig economy’ dengan lebih terperinci dan kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan masa hadapan mereka terbela.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq, telah mengadakan sesi pertemuan dengan rider Foodpanda di kediamannya dan turut bertemu dengan pihak pengurusan Foodpanda di pejabatnya.

Menurut beliau, dakwaan Foodpanda mengenai persetujuan riders mereka mengenai skim pembayaran yang baharu adalah tidak tepat.

Syed Saddiq turut menegaskan bahawa hak pekerja perlu dibela dan majikan tidak sewajarnya mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan dengan sesuka hati.