Saya mula mengenali Intermission ketika persembahan kedua mereka di Petai Belalang, Kuala Lumpur pada 2025. Ketika itu, lagu seperti Blood on the Disco on the Floor, He’s a Punk dan Enjoy Your Life terus menarik perhatian saya. Sejak malam itu, saya mula mengikuti mereka.
Ada sesuatu yang pelik tentang Intermission. Mereka boleh menyampaikan sesuatu yang sebenarnya kritikal dengan cara yang begitu bersahaja. Mereka membuatkan post-punk kedengaran ringan, tetapi apabila diperhatikan liriknya, ada banyak perkara yang sedang mereka persoalkan. Apabila Intermission mengumumkan tour untuk EP terbaru mereka, Modern Desires, yang akan singgah di Cero, Petaling Jaya pada 16 September 2026, saya tidak melepaskan peluang untuk bertemu mereka.
Ditubuhkan pada 2019, Intermission Party Programme dianggotai oleh Iqbal Rohan (vokal, gitar), Nasharudin Shariffudin (bass, vokal), Basyir Ahmad (gitar, vokal), Kristopher Leo (drum) dan Mateen Azlan (synthesiser).

Dari kiri: Basyir , Azlan Iqbal, Nasharudin dan Leo
Post-punk berkembang daripada gerakan punk pada penghujung 1970-an, gerne ini membuka ruang yang lebih besar untuk eksperimen daripada bassline yang lebih menonjol, gitar jangly hinggalah penggunaan alat musik elektronik. Post-punk sering dikaitkan dengan tema alienasi dan kritikan sosial.
Dalam perbualan muzik alternatif rantau ini, perhatian sering tertumpu kepada nama-nama dari Malaysia dan Indonesia. Singapura di luar radar perbualan tersebut. Intermission Party Programme muncul sebagai salah satu nama yang menarik perhatian dari negara pulau tersebut.
Mendengar Intermission juga mengingatkan saya kepada Gang of Four, terutamanya dari segi struktur muzik dan penggunaan lirik yang penuh dengan sindiran dan humour. Lirik mereka juga banyak mempersoalkan kehidupan moden, kuasa, aturan sosial dan consumerism. Selain lirik, bunyi Intermission juga mempunyai identiti yang kuat. Synthesiser yang dimainkan oleh Azlan memainkan peranan penting dalam membentuk karakter bunyi mereka. Ia bukan sekadar menjadi hiasan tapi mengisi ruang di antara gitar, bass dan drum dengan tekstur elektronik membuatkan muzik mereka masih terasa catchy dan menyeronokkan untuk didengar secara live.

Cover untuk single He’s A Punk , 2023, Indipendent
Jadi, mengapa lirik Intermission begitu humor? Adakah ia sengaja dilakukan untuk menjadikan mereka berbeza daripada band lain?
Jawapan mereka? Tidak. Mereka hanya menjadi diri sendiri.
Menurut Nasharuddin, humor itu datang secara semula jadi daripada cara mereka berkawan. Lawak, perbualan dan kisah kehidupan mereka akhirnya menjadi sesuatu yang boleh dikongsi melalui lagu.
Bagi Iqbal pula, kehidupan sekarang sudah terlalu serius. Humor menjadi cara untuk beliau berehat dan tidak mengambil semua perkara terlalu serius. Ia bukan formula untuk kelihatan unik, tetapi sebahagian daripada cara beliau melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.
Pendekatan itu turut dapat dilihat melalui EP terbaru mereka, Modern Desires yang dilancarkan pada tahun lepas.
Selain muziknya, artwork EP tersebut juga mempunyai cerita tersendiri. Kulit album itu dihasilkan sepenuhnya oleh rakan mereka Thaqif Nazri, pereka grafik dari Singapura. Menurut Intermission, artwork tersebut mengambil inspirasi daripada album Entertainment! oleh Gang of Four, salah satu band yang banyak mempengaruhi mereka.

Modern Deisres, 2025, PK Records
Dua lagu yang menarik perhatian saya dalam EP ini ialah Weaving Spiders dan Post-Post Consumerism.
Weaving Spiders tercetus daripada pembacaan Nasharuddin mengenai Bohemian Grove, sebuah kelab eksklusif di Amerika Syarikat yang telah lama menjadi subjek perbincangan awam dan pelbagai teori.
Nasharuddin tertarik dengan idea mengenai golongan berpengaruh yang berkumpul di kawasan hutan. “Weaving spiders” kemudian digunakan sebagai metafora kepada secret society tersebut. Lagu ini mengkritik golongan tersebut yang kekal menguasai masyarakat. Labah-labah itu tidak perlu muncul di tengah pentas untuk menunjukkan siapa yang berkuasa. Mereka hanya perlu terus menenun jaring, menghubungkan satu sama lain, sementara orang lain yang masuk ke dalamnya semakin sukar untuk keluar.
Kemudian datang pula Post-Post Consumerism, sebuah tajuk yang kedengaran seperti seseorang sudah terlalu lama duduk memikirkan masalah dunia sehingga perkataan “consumerism” pun perlu ditambah satu lagi “post”.
Namun di sebalik tajuknya yang sinis, lagu ini membawa kritikan terhadap cara hidup moden. Iqbal berkata post-consumerism merujuk kepada usaha untuk bergerak melampaui budaya membeli dan menggunakan barang sebagai ukuran kebahagiaan, identiti atau kejayaan. Tetapi bagi beliau, keadaan di Singapura terasa lebih melampau daripada itu. Post-consumerism sudah tidak cukup. Maka lahirlah Post-Post Consumerism.
Saya juga bertanya kepada Intermission yang sudah tiga kali bermain di Malaysia. Adakah mereka akan kembali lagi?
Jawapannya: mereka mahu!
Mereka berharap persembahan kali ini bukan yang terakhir dan masih mahu kembali ke Malaysia pada masa akan datang. Tentang sama ada orang Malaysia patut mendengar musik mereka, jawapan mereka juga cukup bersahaja. Mereka tidak kisah jika belum ramai yang mengenali mereka. Sokongan yang sudah diterima sekarang sudah cukup baik.
Tetapi jika ada rezeki untuk bermain di pentas yang lebih besar, mereka tentunya akan bersyukur. Mungkin itu juga yang membuatkan Intermission menarik. Mereka tidak kelihatan terlalu serius, walaupun banyak perkara yang mereka nyanyikan sebenarnya serius. Intermission Party Programme kita menari sambil mempersoalkan dunia. Ketawa sambil melihat semula cara kita hidup, itulah cara band sendiri memahami Post-punk.
Semoga sukses selalu, Intermission Party Programme. Semoga ini bukan kali terakhir mereka datang ke Malaysia.


COMMENTS