Kita nyanyi lagu negeri Selangor sejak sekolah. Berdiri tegak. Diam. Kemudian nyanyi Duli Yang Maha Mulia. Benda yang kita dah buat berpuluh tahun sampai mungkin ramai tak pernah terfikir nak tanya satu soalan yang sangat mudah:
Ini lagu negeri Selangor. Tapi Selangor dekat mana dalam lagu ini?
Cuba fikir balik liriknya. Tak ada nama Selangor, tak ada cerita tentang tanah Selangor, tak ada cerita tentang rakyat Selangor hidup bersama. Tak ada tentang maruah negeri atau tentang perpaduan rakyat. Tak ada tentang kerja membina negeri. Tak ada tentang tanggungjawab kita kepada tempat ini.
Perkataan “rakyat” memang ada, tetapi muncul sekali sahaja, sebagai rakyat yang memohon restu di bawah Duli Tuanku. Selebihnya lagu itu bergerak di sekitar takhta, usia Tuanku, kebahagiaan, keamanan dan doa untuk Sultan.
Jadi timbul satu persoalan: Kenapa lagu sebuah negeri hampir tidak bercakap tentang negeri itu sendiri?
Duli Yang Maha Mulia mula diperkenalkan sebagai lagu rasmi Selangor pada 1967. Lagu itu digubah dan disusun oleh Saiful Bahri Elyas, seorang penggubah dan pengarah muzik Filem Negara. Pada 1966, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah meminta beliau mencipta lagu rasmi negeri yang menggabungkan unsur kebudayaan, kebangsaan dan keagamaan.
Lagu itu kemudiannya dipersembahkan kepada Sultan, diperkenankan dan dirasmikan pada 8 Mac 1967 selepas mendapat persetujuan Dewan Diraja Selangor.
Maksudnya, lagu ini memang lahir dalam kerangka rasmi negeri dan institusi Kesultanan. Itu penting untuk kita faham. Tak ada bukti yang mengatakan Saiful Bahri sengaja mahu mengetepikan rakyat. Jadi tak adil kalau kita mereka-reka niat penulis. Tetapi daripada bentuk lagu itu sendiri, kita boleh nampak satu cara lama memahami negeri: Sultan menjadi lambang utama negeri.
Dalam logik itu, memuliakan Sultan juga bermaksud memuliakan negeri. Sultan mewakili negeri. Jadi lagu untuk Sultan boleh berfungsi sebagai lagu negeri. Cuma persoalannya, adakah pemahaman itu masih cukup untuk menggambarkan Selangor hari ini?
Selangor ialah rakyatnya. Orang yang lahir di sini, membesar di sini, bekerja di sini dan berkeluarga di sini. Orang yang datang dari tempat lain tetapi akhirnya menganggap Selangor sebagai rumah. Selangor juga ialah Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Petaling, Sepang, Gombak, Hulu Langat dan Kuala Langat. Ia ada sejarah, budaya, kerja, konflik, kemajuan dan kegagalan.
Ada generasi sebelum kita dan ada generasi selepas kita. Semua itu membentuk negeri ini. Tetapi hampir semua itu tidak mempunyai suara dalam lagu rasmi Selangor. Perbandingan dengan Negeri Sembilan membuatkan perkara ini lebih jelas. Lagu kebesaran Negeri Sembilan juga berpusat pada pemerintah. Tetapi dalam beberapa baris sahaja, hubungan antara pemerintah dan rakyat terasa lebih luas.

Yang menarik bukan sekadar ayatnya lebih keras. Yang menarik ialah lagu itu membina satu gambaran tentang siapa “kita”. Ada pemerintah, rakyat, tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat. Ada kesetiaan. Ada mereka yang bersama dan ada pihak yang dianggap mengancam kolektif itu.
Sebab itu lagu tersebut mudah terasa sebagai lagu identiti negeri, bukan sekadar doa untuk seorang pemerintah. Bila orang Negeri Sembilan menyanyikannya, mereka mempunyai bahasa yang boleh dirasakan bersama. Ada “kita” dalam lagu itu.
Negaraku sebenarnya menunjukkan bahawa kita tidak perlu memilih antara Raja dan rakyat. Lagu kebangsaan kita bermula dengan negara, kemudian rakyat. Selepas itu barulah datang doa, Dalam satu lagu yang pendek, tanah air, rakyat, Tuhan dan Raja semuanya mempunyai tempat.

Jadi persoalannya bukan Kenapa lagu Selangor menghormati Sultan? Tak ada masalah pun sebuah lagu negeri menghormati Sultan. Selangor memang negeri beraja. Kesultanan adalah sebahagian daripada sejarah dan identiti Selangor.
Persoalan sebenarnya ialah Kenapa itu sahaja yang hampir kita dengar? Kenapa sebuah lagu yang membawa nama sebuah negeri tidak memberi ruang yang sama kepada rakyat dan negeri itu sendiri?
Sebuah lagu negeri sepatutnya mempunyai satu kuasa yang pelik. Bila ia dimainkan, orang yang hidup di negeri itu patut boleh rasa: Ini tempat aku. Apa yang berlaku kepada tempat ini ada kena-mengena dengan aku. Itulah fungsi simbol. Lagu bukan sekadar muzik. Bendera bukan sekadar kain. Jata bukan sekadar lukisan.
Semua benda ini membantu membentuk cerita tentang siapa “kita”. Kalau sebuah lagu hanya memberitahu siapa pemerintah kita, tetapi hampir tidak memberitahu siapa kita sebagai rakyat, ada sebahagian daripada identiti negeri yang tidak masuk ke dalam cerita.
Mengatakan perkara ini bukan bermaksud anti-Sultan. Kita boleh menghormati institusi Kesultanan sambil bertanya kenapa rakyat dan negeri hampir tidak mempunyai suara dalam lagu yang mewakili seluruh Selangor. Sultan sebahagian daripada Selangor. Tetapi Selangor lebih besar daripada seorang Sultan.
Kalau aku diberi tanggungjawab untuk membayangkan sebuah lagu Selangor yang baharu, aku takkan buang Sultan. Aku juga takkan buang unsur Tuhan. Dua-duanya memang sebahagian daripada sejarah negeri ini. Cuma aku akan besarkan ruang lagu itu.
Yang aku akan ubah ialah susunan fikir. Lagu itu mesti bermula dengan Selangor. Kemudian tanahnya. Kemudian rakyatnya. Kemudian nilai yang kita mahu jaga. Sultan hadir sebagai pemerintah yang menaungi negeri dan rakyat. Tuhan menjadi tempat doa seluruh negeri.

Lirik di halaman tadi bukan cadangan untuk dihantar ke mana-mana. Ia cuma satu ujian kecil: kalau kita mula dengan negeri dan rakyat, boleh tak Sultan dan Tuhan tetap ada? Boleh. Jadi isu sebenar bukan sama ada versi aku lebih sedap atau lebih “betul”. Isunya ialah kenapa lagu rasmi yang kita nyanyi hari ini memberi begitu sedikit ruang kepada Selangor sendiri.
Lagu, bendera dan jata bukan barang upacara semata-mata. Semua itu mengajar kita siapa “kita”. Sebab itu simbol boleh dipersoal, dibaca semula dan difahami semula tanpa perlu membenci sejarahnya. Mungkin selama ini kita terlalu biasa menyanyikan Duli Yang Maha Mulia sampai kita tak pernah terfikir untuk mempersoalkannya.
Itu normal.
Penulis : Si Mawar
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian MyKampus Radio


COMMENTS