Skramz & Art Berat di Balai Seni Negara

Skramz & Art Berat di Balai Seni Negara

Seni Belah Irama Bertangkup merupakan satu nama yang sangat sesuai dengan acara ini. Untuk satu hari, Balai Seni Negara dikunjungi oleh kelompok orang muda yang mungkin dianggap obscure, pelik atau terlalu niche oleh orang lain.

Dianjurkan oleh kolektif Lompat Tikam secara percuma. Program yang bermula sekitar jam 3 petang bertempat di Art Depot Balai Seni Negara, Seni Belah Irama Bertangkup bukan sahaja menarik dari segi nama dan lokasinya, tetapi juga kerana pilihan persembahan muzik yang dibawa masuk ke dalam ruang seni.

Biasanya, apabila bercakap tentang exhibition, kita membayangkan suasana yang tenang. Lukisan tergantung di dinding, orang berjalan perlahan-lahan sambil mengangguk dan sesekali membaca penerangan karya yang panjang. Lompat Tikam datang dengan idea yang sedikit berbeza. Mereka membawa masuk band-band daripada genre skramz, satu subkomuniti muzik yang mungkin tidak begitu dikenali di luar lingkungan scene underground.

Skramz, atau screamo, merupakan subgenre daripada D.I.Y (Do It Yourself) hardcore punk yang berkembang pada awal 1990-an, khususnya dalam komuniti underground Amerika Syarikat. Musiknya berakar budaya D.I.Y, lebih emosional, eksperimental dan tidak takut untuk menjadi bising. Jeritan vokal, tempo yang berubah-ubah, struktur lagu yang uncoventional dan ledakan emosi berlebihan merupakan sebahagian daripada identitinya.

Di Malaysia, bunyi ini mula berakar sekitar era 2000-an dan berkembang dalam komuniti underground. Nama seperti Daighila dari Rembau, Negeri Sembilan dan Utarid dari Gombak, Kuala Lumpur antara band-band awal yang sering dikaitkan dengan perkembangan gerne ini.

Persembahan live pula menampilkan Ratchet, Daman Aras, Playburst dan This Taint. Akad Fana yang pada asalnya dijadualkan membuat persembahan terpaksa menarik diri kerana masalah kesihatan yang melanda salah seorang ahli band. Tempat mereka digantikan oleh Toi Et Moi.

Apa yang menarik tentang Seni Belah Irama Bertangkup ialah muzik yang unconventional ini tiba-tiba masuk ke sebuah ruang yang sangat establishment. Balai Seni Negara memberikan ruang kepada acara ini, tetapi lokasi persembahannya seakan-akan berkata kepada komuniti ini:

“Korang boleh buat dekat sini, tapi buat dekat belakang bangunan. Bukan di dalam.”

Mungkin itu bukan maksud sebenar pihak Balai Seni Negara. Tetapi saya tengok ia hampir seperti gambaran kecil tentang kedudukan seni alternatif itu sendiri. Diberi ruang, tetapi masih dipinggirkan. 

Apabila Ratchet memulakan persembahan, duo tersebut terus membuatkan saya sedar bahawa muzik tidak semestinya perlu kedengaran merdu, bersih atau mudah untuk dinikmati. Hampir 30 minit mereka bermain dengan tenaga yang tidak masuk akal. Saya sendiri tertanya bagaimana vokalis mereka mampu menjerit, menekan suara dan teruskan persembahan tanpa nampak seperti mahu pengsan. Tetapi mungkin itulah keseronokan sebenar skramz. Kesakitan itu sebahagian daripada bunyinya.

Energy mereka luar biasa. Emosinya pula terasa sangat peribadi. Di luar persembahan, semuanya kelihatan tenang. Tetapi apabila mereka mula bermain, all hell breaks loose. Semangat itu dirasai dari performance band-band lain. Melihat sebuah genre yang sering dianggap terlalu niche, bergema di dalam ruang Balai Seni Negara terasa sedikit surreal.

Kalau bahagian muzik sudah cukup pelik, bahagian seni visual pula tidak kurang peliknya. Abu.fikrah hadir dengan karya ‘JAWAB’, ‘SOAL’ dan ‘7/2/2026’  sebuah karya yang lahir daripada kisah angau beliau sendiri dan diterjemahkan melalui portrait serta petikan kata-kata. Salah satu petikan ayat beliau mengingatkan saya kepada lagu Kerana Cinta dari Medicine. Cinta itu membunuh dan menyeksakan, tetapi carilah cinta yang berbaloi untuk anda mati.

Raja Muhammad Imran pula datang dengan KakiLima (Tabah). Beliau yang juga merupakan anggota band Akad Fana membawa pendekatan konseptual mengenai kejadian tanah runtuh di sekitar kawasan rumahnya di Mount Kiara yang berlaku akibat perbuatan tangan manusia itu sendiri. Ini antara karya yang menarik perhatian saya sepanjang seharian berada di situ. 

Saya mendapat kritikan tentang penggunaan frasa “art berat”. Katanya istilah tersebut sudah basi. Mungkin betul tetapi saya masih rasa perkataan itu sesuai. Bukan kerana karya-karya ini sengaja mahu menjadi susah. Tetapi kerana skramz dan seni konseptual memang memerlukan sedikit usaha daripada penonton. Ada karya yang memerlukan kita melihat dua kali. Ada muzik yang memerlukan kita duduk dan cuba faham kenapa seseorang sanggup menjerit selama beberapa minit. Ada karya yang mungkin langsung tidak masuk akal pada pandangan pertama.

Dalam konteks Seni Belah Irama Bertangkup, muzik dan seni visual bertemu pada satu titik yang sama kedua-duanya mempunyai cara tersendiri untuk bercakap tentang sesuatu yang mungkin susah diterangkan dengan bahasa biasa. 

Saya rasa gabungan muzik dan seni dalam satu exhibition merupakan sesuatu yang memang diperlukan dalam scene.  Dalam komuniti underground pula, sempadan antara “band member”, “artis”, “designer”, “photographer” dan “orang yang buat poster gig” memang terlalu kabur. Orang yang sama boleh bermain gitar malam ini, mencetak poster esok dan membuka exhibition minggu depan. Apabila Lompat Tikam membawa muzik skramz masuk ke ruang seni, ia sebenarnya bukan sesuatu yang terlalu asing bagi mereka.

Pengalaman pertama saya menyaksikan persembahan skramz dalam suasana seperti ini tidak mengecewakan. Ia unik, sedikit pelik dan jelas mempunyai peminatnya sendiri dan ya, mereka cool. Mereka tidak memerlukan semua orang untuk memahami muzik atau seni mereka. Mereka cuma terus buat. Mungkin itu semangat sebenar Seni Belah Irama Bertangkup.

Tidak semua benda perlu dibuat untuk semua orang. Ia tentang bagaimana seseorang manusia memilih untuk melihat dunia.