Pencinta Sastera dari Ayah.

Platform kini dihiasi dengan content mahasiswa dan mahasiswi meraihkan hari keemasan mereka, konvokesyen di serata Malaysia. Pelbagai ragam dan gelagat yang dilihati yang tersaji dalam platform tersebut.

Tidak ketinggalan juga, penerima Anugerah Naib Canselor UKM pada tahun ini, Muhammad Aqil, graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Persuratan Melayu) menerima penganugerahan dari Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 25 November 2023 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mesti ramai tertanya-tanya kenapa bidang yang dipilih untuk degree adalah Persuratan Melayu ataupun erti kata lain, Sastera Melayu.

Menurut Aqil, minatnya terhadap bidang ini apabila dia rajin membeli buku Sejarah Melayu dan ayahnya berkongsi hasil penulisan puisinya yang dikarang olehnya sewaktu beliau di bangku sekolah.

Namun begitu, pada ketika itu Aqil kurang mengerti dan membuatkannya untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 dengan mengambil subjek Kesusasteraan Melayu dan minatnya terhadap subjek itu semakin berkembang. Maka, dia mengambil keputusan untuk menyambung pendidikan tinggi dalam bidang itu.

Selain cemerlang akademik, Aqil juga seorang yang sangat aktif dalam berpersatuan dan aktiviti luar. Aqil merupakan mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (PMFSSK) sesi 2022/2023.

MKR menemu bualnya melalui platform Whatsapp mengenai pembahagian masa antara akademik dan berpersatuan, menurutnya tiada pembahagian yang terlalu sistematik. Sebaliknya, dia mengutamakan segala tanggungjawab yang diberi diselesaikan pada masa itu sahaja dan tidak bertangguh.

Aqil juga menetapkan dalam minda untuk menyelesaikan segala tanggungjawab dengan baik dan melakukannya satu per satu untuk menghasilkan kerja yang berkualiti.

Nukilan Aqil buat anak muda adalah buatlah sesuatu dengan baik seperti kita hanya mendapat peluang itu sekali seumur hidup.

Aqil juga berpegang pada, “Terjunlah ke perahu kecil, mudiklah menyusuri arus kerana ia akan membawa kita ke suatu tempat. Walaupun tak jumpa perkara yang menarik, sekurangnya kita dapat sesuatu yang baru.”