10 Fakta Menarik Finalis ASGV (Gegar Vaganza Musim 10)

Sumber: Kosmo Digital

All Star Gegar Vaganza (ASGV) minggu 11 atau separuh akhir membuat kejutan dengan membawa kesemua peserta ASGV separuh akhir ke Konsert Finale dan tiada penyingkiran.

Terdapat 10 fakta mengenai lapan orang finalis ASGV minggu akhir ini.

  1. Peserta Anugerah Juara Lagu

Empat orang daripada finalis ASGV 10 pernah berpeluang mara ke Anugerah Juara Lagu. Dimulakan dengan Liza Hanim yang pernah mara ke AJL13 (Getaran Cinta di Jiwa), AJL16 (Andainya Aku Bersuara), AJL17 (Gelisah Mimpi) dan terbaru, AJL37 (Bahagiakan Dia, duet dengan Shila Amzah).

Manakala Jaclyn Victor pernah menyertai AJL sebanyak 5 kali iaitu AJL20 (Gemilang & Wajah), AJL22 (Ceritera Cinta, duet bersama Lah Ahmad), AJL26 (Beribu Sesalan & Sedetik Lebih), AJL27 (Ikut Rentakku) dan AJL33 (Nisan Cinta, duet bersama Siti Nordiana).

Siti Nordiana membuat kemunculan pertama di AJL21 dengan menggantikan penyanyi asal Candak, Syura. Kemudian, muncul pada AJL33 bersama Jaclyn Victor dengan lagu Nisan Cinta dan AJL36 dengan lagu Angkara. Azharina pernah bertembung bersama Jaclyn Victor di AJL20 dengan lagu Elegi Sepi.

2. Vokal Terbaik AJL

Dua peserta finale ASGV iaitu Liza Hanim dan Jaclyn Victor pernah merangkul trofi Vokal Terbaik di AJL. Liza Hanim menjadi penyanyi pertama yang memenangi anugerah tersebut pada tahun 2002 dengan lagu Gelisah Mimpi di AJL17.

Sementara itu, Jaclyn Victor pernah memenangi anugerah tersebut sebanyak dua kali iaitu dengan lagu Ceritera Cinta bersama Lah Ahmad pada AJL22 dan Ikut Rentakku pada AJL27.

3. Juara Keseluruhan AJL

Sumber: TV3 Malaysia

Jaclyn Victor antara peserta ASGV yang pernah menyandang gelaran Juara Keseluruhan bagi lagu Gemilang pada AJL20 dan merupakan kemunculan kali pertama dalam pentas AJL.

4. Artis Remaja!

Siti Nordiana, Tomok dan Naqiu antara penyanyi memulakan karier pada usia belasan tahun. Siti Nordiana bermula pada usia 15 tahun dengan album Gurindam Rindu Berkasih (1999) manakala Tomok dan Naqiu bermula dengan album kumpulan Newboyz (1999) dengan nama album sama dengan kumpulan. Naqiu dengan kumpulan Boboy dengan album pertama, Episod Cinta (2001).

5. Kita dulu Boy Band!

Naqiu dan Tomok bermula dengan boy band iaitu New Boyz pada tahun 1999 dan Boboy pada tahun 2001. Kemudian, mereka membuat kemunculan solo dengan menyertai rancangan realiti. Tomok menyertai One in a Million (OIAM) pada tahun 2009 dan Naqiu menyertai Gegar Vaganza musim ke-6 pada tahun 2019 setelah 12 tahun menjadi penyanyi di kelab malam.

6. Alumni RTM.

Sumber: YouTube RTM

Liza Hanim dan Azharina menyertai pertandingan anjuran RTM sebelum ditawarkan menjadi artis rakaman. Liza Hanim menyertai Golden Teen Search pada tahun 1996 dan memenangi Naib Juara bagi pertandingan tersebut manakala Azharina merangkul gelaran Juara dalam Bintang RTM 2001, menewaskan penyanyi nama besar iaitu Misha Omar dan Allahyarham Siti Sarah.

7. Eh, Kami Pelakon Tahu!

Finalis ASGV juga menghiasi drama tv dan filem Malaysia suatu ketika dulu dan juga menjadi fenomena sehingga hari ini. Liza Hanim pernah berlakon dalam filem permotoran, KL Menjerit (2002) dengan watak Linda Martopo yang menjadi siulan dalam kalangan penonton sehingga hari ini.

Jaclyn Victor pernah berlakon dalam filem Allayarham Yasmin Ahmad, Talentime (2009) dan filem Appalam (filem Papadom versi Tamil) pada tahun 2010.

Siti Nordiana merupakan seorang pelakon selain daripada penyanyi sejak awal kemunculan dalam industri dengan telefilem Helah (2003) dan popular dengan drama bersiri Dia Semanis Honey (2016).

Tomok juga pernah berlakon dalam Istanbul Aku Datang bersama Beto Kusyairy dan Lisa Surihani pada tahun 2012.

Nikki Palikat pernah membuat kemunculan istimewa dalam drama bersiri Dendam Aurora (2017) dan Naqiu membuat kemunculan pertama dalam filem Mat Bond Malaya (2021).

8. Macam Pernah Jumpa Je!

Jaclyn Victor, Hady Mirza dan Nikki Palikat pernah bertembung dalam rancangan realiti sebelum ASGV ini.

Jaclyn Victor dan Nikki Palikat pernah bertanding dalam Malaysian Idol pada tahun 2004 yang mana Jaclyn Victor merangkul juara dalam pertandingan itu manakala Nikki Palikat tersingkir pada minggu ke-6 dengan lagu Emotions nyanyian Mariah Carey.

Manakala Jaclyn Victor dan Hady Mirza bertembung dalam Asian Idol pada tahun 2007 dan Hady Mirza menyandang juara dalam pertandingan tersebut.

9. Hi, Jumpa Lagi! (Gegar Vaganza version)

Dalam ramai-ramai finalis ASGV, terdapat dua musim GV yang mana mempunyai dua peserta dalam, ASGV. Hady Mirza dan Naqiu menyertai GV6 (2019) dan dinobatkan dua juara pada musim itu manakala Jaclyn Victor dan Tomok bertanding dalam GV9 (2022) yang mana Jaclyn Victor juara musim tersebut dan Tomok meraih tempat ke-4.

10. Naib Juara Bertempur tanpa Juara!

Liza Hanim dan Nikki Palikat bertanding atas tiket Hot Seat pada awal ASGV ini bersama Juara GV4 (Dato’ Aishah) dan Juara GV8 (Aliff Aziz).

Namun, kedua-dua juara ini tersingkir iaitu Dato’ Aishah tersingkir pada minggu ke-4 dan Aliff Aziz tersingkir pada minggu ke-10 iaitu suku akhir tetapi kedua-dua peserta Hot Seat daripada GV4 dan GV8 mara ke peringkat akhir.

Selepas baca 10 fakta ini, anda rasa siapa yang akan menjadi Juara ASGV? Sama-sama kita nantikan pada hari Ahad ini, 10 Disember 2023 pada pukul 9 malam di Astro Ria dan secara langsung di Axiata Arena, Bukit Jalil!