Kembalikan KAMI Kepada Indie

Kembalikan KAMI Kepada Indie

September ini mungkin menjadi antara bulan paling chaos pada tahun 2026. Isu, masalah dan gaduh-gaduh manja berlaku di dunia scene musik bawah tanah Malaysia. Scene kembali meriah tetapi bukan kerana rilisan terbaru ataupun band lokal shoegaze yang bakal membuat kemunculan di platform radio Amerika Syarikat, KEXP. Scene kembali hangat kerana pengumuman rasmi barisan artis Ultra Kalcher dan statement dari pihak penganjur, Neptune Presents yang membuatkan semua orang terbakar. 

Ultra Kalcher yang akan berlangsung di KL Festival Park pada november ini. Lineup mereka didominasi oleh artis-artis dari Indonesia. Lineup ini menjadi spark kepada satu perbincangan yang sebenarnya sudah lama wujud. Untuk peminat musik Indonesia, ini sesuatu yang dinantikan, tetapi untuk anak-anak jati, mereka dah penat melihat pola yang sama berulang. Apabila festival besar berlangsung di Malaysia, nama-nama dari Indonesia sekali lagi mendominasi ruang yang sepatutnya boleh menjadi platform kepada local act. 

Barisan artis Ultra Kalcher

Persoalan yang sama muncul, apa lokal tidak sehebat Indonesia? Atau peminat musik Malaysia memang hanya mahu mendengar musik luar? Soalan terakhir itu mungkin ada betulnya. Namun masalah sebenar ialah apabila musik Indonesia datang dengan seluruh ekosistemnya sendiri. 

Saya cukup geli hati bila melihat alasan pihak Neptune Presents apabila ditanya kenapa tiada lineup lokal. Alasan ‘semua busy’ itu sememangnya malas dan membuktikan mereka tidak kesah dengan local act. Namun apabila saya baca artikel itu, penjelasan sebenar mereka jauh lebih bijak, mereka merasakan bahawa band-band di malaysia ni terlalu basic, tidak mempunyai pasukan yang lengkap seperti artis Indonesia. Ramai bertanya di mana salahnya, ada yang menembak peminat, ada yang menyalahkan band dan yang paling menarik sekali, menembak media arus perdana dan media altenatif.

Apabila bekas penyanyi Laila’s Lounge, Hadi Jaafar berkongsi satu kertas kajian dari dua pelajar UUM tentang projek KAMI, saya tahu beliau mempunyai jawapan sebenar mengenai isu yang sedang digaduhkan oleh semua orang. 

Kertas kajian oleh Rahman Sulaiman dan Ehsan Hanafi itu melihat bagaimana KAMI yang dibangunkan sekitar tahun 2007 sebagai satu usaha ‘peperangan’ COO 8TV ketika itu, Ahmad Izham Omar untuk menentang dominasi musik Indonesia di dalam negara khususnya selepas fenomena Sheila On 7 pada penghujung 1990-an. Projek KAMI dibina melalui beberapa fasa, KAMI The Gig, KAMI the Series dan akhirnya KAMI The Movie, Penglibatan 8TV, Monkey Bone Records dan beberapa rakan korporat berjaya menghasilkan projek KAMI. Sasaran mereka ialah orang muda berumur 18-35 tahun. 

https://www.academia.edu/40291609/Projek_KAMI_The_Uprising_Of_Indie_Band_In_Malaysia

Industrial planning ini diwujudkan kerana musik lokal yang telah mencapai tahap tepu. Semua band mengeluarkan lagu yang sama menyebabkan penghijraan besar-besaran kepada barang dari luar. Radio dan TV juga turut sama mengikut penghijraan itu. projek KAMI adalah jawapan strategik untuk pecahkan kitaran itu dan ia berjaya. Untuk seketika, dominasi Indonesia berkurang. Filem KAMI menjadi fenomena. Label kembali keluarkan band tempatan. Media memberi airtime kepada band-band lokal. 

Itulah perkara yang saya fikir kita patut belajar daripada projek KAMI. Bukan untuk membuat projek KAMI yang terbaru. Kita tidak boleh membawa kembali 2007. Kita perlu mencipta kembali operasi itu, bersama general perang yang baharu. Contoh yang paling jelas sedang berlaku di mata anda semua adalah Dongker dari Indonesia.

Album kedua mereka Melankolia Radikal yang dikeluarkan pada 28 Ogos 2026 ialah bukti bagaimana machine Indonesia itu beroperasi. Media Indonesia bercakap tentangnya, media alternatif mengupas lagu, visual dan keresahan yang dibawa oleh album tersebut. Label mereka mula mencari promoter di Malaysia sebelum album itu dikeluarkan untuk membuat tour di negara ini. Band ini turut bekerjasama dengan NGO MANDIRI dengan mengadakan sesi akustik di rumah mereka di Petaling Jaya.

Kulit album Dongker dipaparkan Billboard di Bukit Bintang, Kuala Lumpur

Ketika Grunge dari Seattle membanjiri carta British, mesin-mesin industri muzik mereka mula mengisytiharkan ‘perang‘ terhadap invasion ini. Dari situlah Britpop muncul sebagai satu bentuk tindak balas budaya terhadap gelombang muzik Amerika yang sedang menguasai perhatian dunia. Media muzik seperti NME dan Melody Maker mula mengangkat semula identiti muzik British sebagai sesuatu yang perlu diraikan. Label, media, radio, televisyen dan industri persembahan kemudian membantu membesarkan gelombang tersebut. Ini menunjukkan bahawa sesuatu budaya tidak membesar secara semula jadi. Itu juga berlaku kepada projek KAMI. 

Saya tidak percaya kepada idea bahawa sebuah band boleh menjadi besar hanya kerana satu lagu viral di TikTok. Itu merupakan satu pemikiran yang sangat malas. Anda memerlukan sentuhan dan penglibatan semua perkara. Malaysia sudah lama kehilangan mesin musik itu.  Kita ada grassroot yang kuat tetapi ia hanya seperti syok sendiri, terasing dari kehidupan harian masyarakat. Gig hanya diketahui oleh orang yang memang di dalam scene. Media arus perdana sudah lama menjauhkan diri dari scene. Mereka kekal menjadi malas dengan menunggu angka views yang besar sebelum memberikan perhatian.

Label langsung tidak kreatif dalam mempromosikan artis mereka. Tiada langsung hubungan yang wujud terhadap peminat, media dan promoter. Event Organizer (EO) pula masih menggunakan sistem ‘pay to play‘ kepada band-band. Band pula syok sendiri, merasakan mereka sudah besar walaupun hanya dikenali oleh orang di dalam scene sahaja. Media altenatif terus membuat konten yang kurang bagus atau clickbait content yang membuatkan orang semakin muak dan menjauhkan diri dari musik lokal.

Malaysia tidak mempunyai masalah kekurangan bakat. Malaysia mempunyai masalah kegagalan membina ekosistem yang mampu mengubah bakat menjadi satu gerakan budaya. Persoalan saya adakah kita mampu membina mesin itu? Saya percaya cultural shift di Malaysia akan berlaku tidak lama lagi. Saya percaya gelombang penguasaan musik luar ini akan berakhir. Saya juga percaya kepada sebuah gerakan budaya baru yang akan mengubah Malaysia. 

Tapi selagi kita berpecah macam anak-anak sungai yang tak pernah bercantum jadi satu arus besar, kita akan kekal di tempat kita sekarang. 

COMMENTS