Kalah 14-1, Presiden Kelab ‘Ghaib’, Gaji Pemain Tertunggak, Musim Hebat Kelantan The Real Warrios FC

Kalah 14-1, Presiden Kelab ‘Ghaib’, Gaji Pemain Tertunggak, Musim Hebat Kelantan The Real Warrios FC

Musim Kelantan The Real Warriors boleh dikatakan “hebat” tetapi dengan cara yang salah. Rekod dibelasah 14-1, isu tunggakan gaji pemain, dan presiden kelab yang seakan ghaib daripada pasukan. Semua ini menjadikan musim TRW antara yang paling “menarik perhatian” dalam bola sepak Malaysia, tetapi atas sebab yang memalukan.

Papan skor di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad lepas tidak perlukan ulasan panjang. 14-1. Kelantan TRW bukan sekadar kalah, mereka dihina di hadapan seluruh negara, nama bola sepak Kelantan yang dahulu gah kini menjadi bahan jenaka peminat bola sepak bahkan mendapat liputan media sukan antarabangsa.

Tapi di sebalik angka yang memalukan itu, ada soalan yang boleh ditanya, di manakah presiden kelab ketika semua ini berlaku? Pada 15 Jun 2025, pengumuman bekas Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa sebagai Presiden Kelantan TRW disambut dengan optimisme yang boleh difahami. Beliau pernah menerajui Kelantan FA semasa era kegemilangan The Red Warriors era yang masih disebut penyokong Kelantan hingga ke hari ini. Nama besar datang bersama harapan besar.

Ketika mula memegang jawatan, Annuar Musa sendiri berkata kepada pemain dan pihak kelab: jika ada masalah gaji, beritahu saya, saya akan cuba selesaikan. Bukan sekadar retorik semasa majlis pengumuman. Ia adalah komitmen awam, rakaman niat seorang pemimpin yang sepatutnya memikul akauntabiliti.

Hampir setahun kemudian, komitmen itu nampaknya sudah ghaib bersama orangnya.

Kekalahan 14-1 kepada JDT baru-baru ini bukan hanya kerana prestasi buruk pasukan. Ia adalah kemuncak kepada kemelut yang sudah lama membusuk dari dalam. Beberapa pemain Kelantan TRW meluahkan rasa tidak puas hati mereka melalui posting di sebuah page bola sepak tempatan dakwaan tunggakan gaji yang sudah melebihi tiga bulan. Dalam mana-mana profesion pun, itu sudah mencukupi untuk menghakis semangat. Namun, saban tahun isu tunggakan gaji seakan-akan menjadi norma dalam landskap bola sepak Malaysia.

Yang paling mencolok dalam kemelut ini bukan kekalahan itu sendiri. Ia adalah satu ayat dalam posting Facebook Annuar Musa sendiri. Baru-baru ini, beliau hadir menonton perlawanan antara Kelantan KRW dan WTS Kelantan di liga A1 pada 8 Mei 2026, Kapsyen yang beliau tulis di Facebook berbunyi:

Presiden kelab Liga Super Malaysia, secara terbuka, mengisytiharkan dirinya sudah tidak terlibat dengan mana-mana pasukan bola. Tanpa pengumuman rasmi. Tanpa kenyataan media. Seolah-olah beliau melenyapkan diri keluar dari pasukan.

Ini bukan kali pertama bekas Menteri Komunikasi itu dihimpit kontroversi dalam arena bola sepak Kelantan. Pada 2016, beliau pernah meletakkan jawatan sebagai Presiden Kelantan FA secara mengejut susulan kemelut tunggakan gaji pemain yang ketika itu mencetuskan perhatian ramai.

Dan yang lebih mengejutkan: pihak kelab sendiri turut berdiam diri. Tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Kelantan TRW tentang posting tersebut. Sehingga hari ini tiada penjelasan tentang status jawatan beliau. Tiada kepastian tentang siapa yang sebenarnya memegang tampuk pengurusan kelab sekarang.

Pemain tidak tahu gaji mereka akan masuk atau tidak. Penyokong tidak tahu siapa yang menguruskan kelab. Dan kelab sendiri tidak fikir semua ini perlu dijelaskan kepada sesiapa pun.

Soalan yang lebih serius perlu diajukan kepada MFL dan FAM: Adakah mereka tahu tentang kemelut ini? Jika tahu, di mana tindakan? Skor 14-1 itu akan kekal dalam rekod. Dan selagi tiada akauntabiliti yang jelas, selagi presiden boleh cuci tangan tanpa penjelasan, selagi janji awam boleh dilupakan begitu sahaja, selagi kelab boleh berdiam diri ketika pemain menjerit melalui posting media sosial, selagi tiada tindakan yang diambil, bola sepak Malaysia akan terus mengulang kitaran yang sama.

COMMENTS