“Mereka matang.” – M. Nasir
Begitulah ungkapan yang diberikan oleh M. Nasir kepada Pitahati selepas kemunculan album baharu mereka, Algoritma 432, yang dilancarkan pada 26 Jun lalu. (Laporan Syafil Syazwan Jefri, Harian Metro)
Pujian itu bukanlah sesuatu yang berlebihan. Album ketiga Pitahati ini mengambil masa hampir lima tahun. Tempoh yang panjang itu jelas membuahkan hasil. Algoritma 432 mungkin merupakan karya paling matang yang pernah dihasilkan oleh mereka sejak album pertama pada tahun 2013.
Menurut mereka, idea dan konsep album ini mula berkembang sejak era pandemik COVID-19. Dunia hari ini semakin terikat dengan algoritma media sosial yang membentuk kecenderungan, pemikiran dan tingkah laku setiap individu. Namun seperti kebiasaan Pitahati, mereka tidak menyampaikan mesej secara terus. Judul album serta lirik-lirik di dalamnya hadir sebagai satira terhadap kuasa, politik dan masyarakat moden.

Pitahati ialah : Ilham (vokal,gitar), Yasir (drum), Masrin (bass), Hidayat (gitar) dan Zahar (gitar)
Kali pertama saya mendengar lagu seperti Ana Yang Punya (1 Ringgit, 2 Ringgit) dan versi awal Sandiwara di Temasya Anak Muda 2023 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Saya agak terkejut dengan keberanian mereka menyentuh pemimpin dan sikap golongan berkuasa. Namun apa yang lebih menarik ialah bagaimana sindiran tersebut dibungkus dengan muzik yang lebih mudah dihadam. Unsur catchy, funky dan melodi yang mesra pendengar menjadikan album ini antara karya Pitahati yang paling mudah dinikmati tanpa mengorbankan identiti mereka.
Kematangan itu turut terserlah pada aspek produksi. Bunyinya lebih bersih, kemas dan seimbang berbanding karya-karya terdahulu. Setiap instrumen diberikan ruang yang sesuai untuk bernafas, menjadikan keseluruhan pengalaman mendengar lebih memuaskan.
Antara lagu yang paling melekat ialah ‘Jhow Si Ikan Paus’. Tafsiran saya mungkin mudah. “Jhow” hampir pasti merujuk kepada Jho Low. Figura utama kes 1MDB. Dengan nada berseloroh, Pitahati menyanyikan kerinduan terhadap Jhow dan terus menunggunya pulang. Jenaka yang pada permukaannya kedengaran lucu, tetapi apabila difikirkan semula, terasa sinis.
Sindiran Pitahati tidak hanya ditujukan kepada golongan penguasa. Album ini juga mengajak pendengar melihat diri sendiri. Terdapat dua sisi yang cuba dibawa. Sisi pertama memaparkan mereka yang mempunyai kuasa, pengaruh dan kedudukan. Sisi kedua pula menyelami tekanan hidup, peluang dan keinginan manusia yang akhirnya boleh melahirkan sisi pertama tadi. Dengan kata lain, setiap masalah sosial mempunyai punca yang lebih kompleks daripada sekadar menyalahkan individu tertentu.
Kelebihan Pitahati sejak dahulu terletak pada keupayaan mereka menulis lirik yang berlapis. Pendengar boleh menikmatinya secara santai, tetapi apabila diteliti, setiap bait membawa makna yang jauh lebih dalam. Ini merupakan peluru Pitahati.
Tema yang dibawa dalam Algoritma 432 juga akan terus relevan sepanjang zaman kerana sifat manusia tidak banyak berubah. Nafsu, kuasa, tekanan hidup dan pencarian makna akan sentiasa wujud, sama seperti algoritma yang terus bergerak di sebalik dunia digital. Realiti sosial inilah yang menjadi sumber inspirasi kepada Pitahati.
Seniman yang baik bukan sekadar menghasilkan lagu. Mereka merakam zaman. Mereka menjadi saksi kepada keresahan masyarakat dan meninggalkan kapsul masa untuk generasi seterusnya. Itulah yang berjaya dilakukan oleh Pitahati.
Algoritma 432 kini boleh distrim di semua platform digital.

