10 Filem Tempatan Dengan Kutipan Tertinggi di Malaysia!

Tahun 2023 hampir melabuhkan tirainya. Kita telah disajikan dengan banyak filem tempatan yang semestinya meraih perhatian para penggemar filem. Kali ini, kami ingin kongsikan 10 filem tempatan dengan kutipan yang tertinggi di Malaysia.

[Dikemaskini pada 3 Oktober 2023]

#1 – Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (2022)

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini memaparkan kisah tokoh sejarah penghujung abad ke-19 dimana Mat Kilau (lakonan Adi Putra) bersama dengan ayahandanya, Tok Gajah (lakonan Wan Hanafi Su) dan sahabat-sahabatnya, yang berjuang demi negara menentang penjajahan British suatu ketika dahulu. Dengan barisan pelakon hebat yang lain seperti Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Johan As’ari, A. Galak, Khir Rahman, Jalaluddin Hassan, Rahim Razali, Namron, Zarina Zainoordin, dan ramai lagi, filem ini berjaya meraih sebanyak RM97 juta sekaligus mengungguli carta filem tempatan Malaysia yang paling banyak mendapat sambutan.

Pengarah: Syamsul Yusof

Genre: Aksi, Drama, Sejarah

Tarikh tayangan: 23 Jun 2022

#2 – Polis Evo 3 (2023)

Seterusnya, filem aksi blockbuster Polis Evo 3 ini merupakan filem kesinambungan daripada Polis Evo 2 (2018) yang menceritakan tentang Inspektor Khai (lakonan Shaheizy Sam) dan Inspektor Sani (lakonan Zizan Razak) dengan misi baharu mereka untuk menumpaskan bekas koperal serta teman rapat Khai, iaitu Reza (lakonan Sharnaaz Ahmad). Filem ini memperoleh kutipan pecah panggung sebanyak RM54 juta dengan barisan pelakon yang tidak asing lagi iaitu Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, dan ramai lagi.

Pengarah: Syafiq Yusof

Genre: Aksi, Komedi, Jenayah

Tarikh tayangan: 25 Mei 2023

#3 – Munafik 2 (2018)

Filem Munafik 2 mengisahkan tentang perjuangan Ustaz Adam (lakonan Syamsul Yusof) yamg berhadapan dengan amalan ajaran sesat di perkampungan yang sangat terpencil, diketuai oleh Abuja (lakonan Nasir Bilal Khan) dan menyelamatkan seorang ibu tunggal, Sakinah, dari kejahatan Abuja. Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon seperti Maya Karin, Fizz Fairuz, Mawi, Fauzi Nawawi, Rahim Razali, dan ramai lagi. Filem pecah panggung ini berjaya mengutip sebanyak RM 48 juta pada tahun 2018.

Pengarah: Syamsul Yusof

Genre: Seram

Tarikh tayangan: 30 Ogos 2018

#4 – Hantu Kak Limah (2018)

Filem seterusnya ini merupakan filem komedi seram yang diarahkan oleh Mamar Khalid. Merupakan filem kesinambungan daripada Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2013), filem ini berkisarkan tentang Kak Limah yang baru sahaja berumah tangga, tetapi telah ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan di dalam kebun. Dalam tempoh tayangan sebanyak 18 hari di seluruh negara Malaysia, filem Hantu Kak Limah telah meraih kutipan sebanyak RM37 juta! Filem komedi seram ini dibintangi oleh barisan pelakon seperti Awie, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Rab Khalid, Delimawati, dan ramai lagi.

Pengarah: Mamat Khalid

Genre: Seram, Komedi

Tarikh tayangan: 9 Ogos 2018

#5 – Mechamato The Movie (2022)

Seterusnya, Mechamato The Movie! Filem animasi yang dihasilkan oleh Animonsta Studios dan Astro Shaw, filem arahan Nizam Razak ini menceritakan tentang pertemuan pertama Amato dengan MechaBot dalam kapal angkasa penjara yang terhempas, kemudian mereka dikejar oleh makhlus asing yang jahat, Grakakus. Filem ini dibintangi oleh pelakon voice over seperti Armand Ezra, Adzlan Nazir, Fadhli Mohd Rawi, Ielham Iskandar, Marissa Balqis, Fazreen Mohd, Hazzley Abu Bakar, dan Feroz Faizal. Mechamato The Movie bukan sahaja menarik minat penonton si cilik, namun ia juga mendapat perhatian yang memberangsangkan dari para penonton dari semua lapisan masyarakat.

Pengarah: Nizam Razak

Genre: Animasi, Komedi, Superhero, Fiksyen Sains, Fiksyen Aksi

Tarikh tayangan: 8 Disember 2022

#6 – MALBATT: Misi Bakara (2023)

Filem seterusnya ini berdasarkan dari kisah benar mengenai operasi berani mati 19 anggota Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Mekanis daru Batalion Malaysia (MALBATT) membantu dalam menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap dalam perang saudara di Mogadishu, Somalia pada tahun 1993 dalam kejadian Black Hawk Down. Antara pelakon utama adalah Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie Alaudin, Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Tony Eusoff, Gambit Saifullah, Dini Schatzmann, Syazwan Zulkifli, dan ramai lagi. Filem arahan Adrian Teh ini berjaya mengutip sebanyak RM32 juta dan sekaligus mengangkat nama ‘unsung heroes’ negara Malaysia.

Pengarah: Adrian Teh

Genre: Aksi, Drama, Sejarah, Perang

Tarikh tayangan: 24 Ogos 2023

#7 – Ejen Ali – The Movie (2019)

Filem animasi yang kedua ini juga merupakan antara filem dengan kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM32 juta. Filem ini juga telah ditayangkan di Singapura, Brunei, Indonesia, Vietnam, dan Uzbekistan. Filem animasi ini mengisahkan tentang misi perisik kanak-kanak, Ejen Ali yang berusaha merungkai misteri di sebalik teknologi yang mengancam bandar Cyberaya. Filem ini juga telah memenangi 11 anugerah yang dipertanding iaitu Filem Naimasi Terbaik dan Anugerah Box Office di festival Filem Malaysia ke-31 tahun 2021. Filem ini dibintangi pelakon voiceover seperti Ida Rahayu Yusoff, Shafiq Isa, Noorhayati Maslini Omar, Azman Zulkiply, dan Nabilah Rais.

Pengarah: Usamah Zaid Yasin

Genre: Aksi, Pengembaraan, Animasi

Tarikh tayangan: 28 November 2019

#8 – Air Force The Movie: Selagi Bernyawa (2022)

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa merupakan sebuah filem aksi ketenteraan Malaysia arahan bersama Zulkarnain Azhar dan Frank See. Filem ini memaparkan anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) bersama penumpang awam yang terkandas di Namburi selepas pesawat A400M mereka naiki ditembak oleh Militan Utara Namburi. Susulan kejadian tersebut, tentera udara mengusahakan rancangan untuk menyelamatkan mereka. Filem yang berjaya mengutip sebanyak RM30 juta ini dibintangi oleh pelakon A-List seperti Aiman Hakim Ridza, Dato Adi Putra, Nas-T, Sara Ali, dan pelakon pembantu Iman Corinne Adrienne, Luqman Hafidz, Johan As’ari, Pablo Amirul, Scha Alyahya, Fezrul Khan, Saidi Sabri, dan ramai lagi.

Pengarah: Zulkarnain Azhar, Frank See

Genre: Aksi

Tarikh tayangan: 25 Ogos 2022

#9 – PASKAL: The Movie (2018)

Filem arahan Adrian Teh tidak pernah mengecewakan sama sekali. PASKAL: The Movie merupakan sebuah filem aksi ketenteraan yang berdasarkan kisah benar, menceritakan tentang usaha pasukan elit Tentera Laut Diraya Malaysia (TLDM) – Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam misi merampas semula kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011. Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin. Filem pecah panggung ini berjaya mengutip RM30 juta sekaligus menjadi salah satu dari 10 filem tempatan bagi tahun 2018.

Pengarah: Adrian Teh

Genre: Aksi, Drama

Tarikh tayangan: 27 September 2018

#10 – BoBoiBoy Movie 2 (2019)

Dan akhir sekali, filem animasi ketiga ini yang bertajuk BoBoiBoy Movie 2 yang juga di bawah arahan Nizam Razak, menceritakan aksi adiwira kanak-kanak BoBoiBoy dan rakan sepasukannya yang bersama-sama menentang makhluk jahat purba yang bernama Retak’ka yang ingin merampas kuasa elemental BoBoiBoy. Filem yang berjaya mengutip RM30 juta ini telah ditayangkan di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, dan juga Vietnam. Antara pelakon suara yang terlibat adalah Nur Fathiah Diaz (BoBoiBoy), Fadzli Mohd Rawi (Retak’ka), Wong Pak Lin (Hang Kasa), Dzubir Mohammed Zakaria (Gopal), Niezam Razak (Papa Zola), Nur Sarah Alisya (Yaya), Yap Ee Jean (Ying), dan ramai lagi.

Pengarah: Nizam Razak

Genre: Aksi, Pengembaraan, Animasi

Tarikh tayangan: 8 Ogos 2019


Jadi, itulah semua filem tempatan yang tersenarai dengan kutipan tertinggi di Malaysia. Ha, dalam banyak-banyak yang tersenarai tu, yang mana satu anda suka tonton berulang kali? Kongsikan jawapan anda di ruangan komen!

Jangan lupa juga ikuti kami di media sosial berikut!

Twitter: mykampusradio

Instagram: mykampus_radio

Facebook: mykampusradio

YouTube: MyKampusRadioPodcasts