Terma & Syarat Album Serdahana Mégat Fazly

Terma & Syarat Album Serdahana Mégat Fazly

Apabila seorang pemuzik sudah biasa berkarya dalam sebuah kumpulan, projek solo sepatutnya menjadi ruang untuk mereka melepaskan diri daripada identiti yang selama ini dibina bersama. Tetapi kebebasan itu juga boleh menjadi perangkap. Terlalu bebas, dan akhirnya kita mendapat sebuah karya yang tenggelam dalam obsesi penciptanya sendiri.

Terma & Syarat, album pertama Mégat Fazly, tidak jatuh ke dalam perangkap itu. Sebaliknya, adik bongsu kepada trio folk-pop Mafidz ini memilih untuk menjadi serdahana. 

Megat Ahmad Fazly, 27 tahun, baru sahaja mengeluarkan album sulungnya, Terma & Syarat bersama pemain bass Aizad Khan dan pemain biola Zaiff Sharqil.

Jika Mafidz lebih dikenali dengan pendekatan yang lebih serius dari segi lirik dan gubahan, album ini terasa lebih personal, serdahana dan lebih dekat dengan suara Megat sendiri. Ini bukan kali pertama saya mendengar Mégat Fazly.

Enam tahun lalu, ketika masih belajar di Rembau, Negeri Sembilan, seorang kawan sebilik memasang lagu Minta Maaf Lagi. Saya masih ingat bagaimana lagunya kedengaran begitu lulubaly malah liriknya hanya berulang-ulang. Itulah perkara yang paling menarik tentang Mégat Fazly. Pengulangan itu bukan kelemahan, itu seperti trademark.

Ada sesuatu yang sangat santai dan tidak terlalu memaksa dalam cara beliau menulis lagu. Dia tidak perlu mengisi setiap ruang dengan kata-kata besar untuk membuatkan sebuah lagu berfungsi. Kadangkala, satu ayat yang sama diulang berkali-kali sudah cukup untuk menyampaikan perasaan. Terma & Syarat membawa sifat itu lebih jauh. Setiap lagu terasa seperti surat-surat cinta yang tidak pernah benar-benar dihantar. Ada rasa manis di dalamnya, tetapi bukan manis yang menjengkelkan. Ia datang dengan sedikit humor, sedikit janggal dan kadangkala terasa terlalu biasa dalam erti kata yang baik.

Pening, Runsing, Roller Coaster adalah contoh terbaik. Lagu ini bermula dengan kisah demam, beliau menerangkan perasaan tersebut seperti bermain roller coaster. Lagu ini Ia tidak cuba menjadikan demam sebagai tragedi besar. Tidak ada kesedihan yang dipaksa menjadi puitis. Sebaliknya, ia mengambil satu perkara kecil daripada kehidupan harian dan menjadikannya lagu. Di sinilah Megat berbeza daripada banyak penulis lagu indie yang terlalu sibuk mahu kedengaran “deep“.

Dari segi bunyi pula, Terma & Syarat lebih minimal dan stripped down. Ada ruang dalam setiap lagu. Tidak semuanya perlu diisi dengan bunyi atau instrumen. Ia memberi peluang kepada vokal, lirik dan melodi untuk berdiri sendiri.

Mafidz terasa seperti sebuah kumpulan yang sedang bercakap kepada dunia, Terma & Syarat terasa seperti Megat sedang bercakap kepada dirinya sendiri. Itulah pemisahan yang paling penting. Megat berjaya keluar daripada bayang-bayang Mafidz tanpa perlu menafikan bahawa beliau sebahagian daripada band tersebut. Dia mengambil pengalaman dan identiti yang sudah ada, kemudian mengecilkan semuanya menjadi sesuatu yang lebih peribadi.

Pada waktu muzik tempatan semakin mudah terperangkap dalam formula, album ini terasa seperti a breath of fresh air. Tidak ada romantisme penderitaan atau “sad boy aesthetic” yang kini menjadi mata wang utama muzik alternatif Asia Tenggara. Sebaliknya, Megat menulis tentang perkara-perkara kecil dengan nada yang sederhana. Kadangkala lucu, kadangkala janggal, tetapi hampir sentiasa jujur. Terma & Syarat bukan album yang akan mengubah arah muzik Malaysia. Ia juga bukan karya terbaik yang pernah lahir daripada ekosistem folk-indie tempatan. Tetapi ia berjaya melakukan sesuatu yang lebih penting: membina dunia kecilnya sendiri.  

Sebuah dunia yang penuh dengan cinta, keraguan, demam, humor dan perkara-perkara kecil yang kita lalui setiap hari tetapi jarang kita fikirkan untuk dijadikan lagu.

Selepas enam tahun sejak saya pertama kali mendengar Minta Maaf Lagi, Mégat Fazly akhirnya memberikan kita sebuah dunia yang lebih lengkap untuk memahami dirinya sebagai pemuzik.

Terma & Syarat kini boleh didengari di semua Digital Streaming Platform (DSP)