Seni Belah Irama Bertangkup, Seni Alternatif Orang Muda

Seni Belah Irama Bertangkup, Seni Alternatif Orang Muda

Program Seni Belah Irama Bertangkup anjuran kolektif Lompat Tikam berjaya menghimpunkan penggiat seni kreatif, pemuzik serta peminat seni dalam satu ruang menerusi pendekatan yang lebih terbuka dan dekat dengan golongan muda. Program yang berlangsung di Art Depot, Balai Seni Negara itu pada 12 September 2026 menampilkan gabungan karya seni visual, kontemporari dan konseptual beserta persembahan muzik yang mencerminkan kepelbagaian ekspresi dalam kalangan penggiat seni muda.

Antara penggiat seni visual yang terlibat ialah Abu Fikrah, Raja Muhammad Imran, TJ Rameli, Almarhum Cikgu Muhammad Haji Tain, Syahmi Azmi dan Nisa Zulkifli. Persembahan muzik pula menampilkan Ratchet, This Taint, Playburst, Toi Et Moi dan Daman Aras.

Menurut penganjur, Shuib Shahzaman Bakti, 28, program berkenaan bertujuan meraikan kepelbagaian bentuk seni serta membuka akses yang lebih mudah antara karya seni dengan masyarakat, khususnya golongan muda. Katanya, konsep program yang berteraskan expression dilihat bersesuaian dengan budaya dan cara orang muda hari ini mengekspresikan diri melalui pelbagai medium.

“Objektif program ini adalah untuk meraikan kepelbagaian seni dan memberi akses antara seni dengan orang muda dengan lebih selesa, mudah dan percuma. Seni seharusnya boleh diakses oleh orang awam dengan lebih mudah tanpa terlalu bergantung kepada pameran di galeri yang kadangkala memerlukan tempoh persediaan dan proses yang lebih panjang” katanya.

Nama Seni Belah Irama Bertangkup pula mengambil inspirasi daripada cerita rakyat Batu Belah Batu Bertangkup, yang kemudiannya diadaptasi ke layar perak menerusi filem pada tahun 1959. Selain itu, program berkenaan turut memberikan penghormatan kepada penggiat seni visual Allahyarham Cikgu Muhammad Haji Tain dari Melaka, dengan kehadiran anak Allahyarham dalam acara tersebut.

Tidak hanya tertumpu kepada pameran dan persembahan muzik, program itu turut menampilkan aktiviti seperti bengkel percetakan 3D, forum seni serta sesi soal jawab bersama penggiat seni yang terlibat.

Penganjuran Seni Belah Irama Bertangkup memperlihatkan bagaimana ruang seni alternatif mampu menjadi titik pertemuan antara golongan muda daripada pelbagai latar belakang dan minat. Inisiatif seperti ini juga membuka ruang kepada orang muda untuk mengenali, menghargai serta terlibat secara langsung dalam ekosistem seni dan kreatif yang lebih bebas.

MyKampus Radio (MKR) mengucapkan tahniah kepada kolektif Lompat Tikam serta semua penggiat seni dan pemuzik yang terlibat dalam menjayakan acara ini.