
Balai Seni Negara Langkawi membuka tirai 2025 dengan program Kem Ilustrasi Botani: Rasa Alam, sebuah inisiatif yang menggabungkan seni, sains, dan teknologi dalam konteks alam semula jadi.

Pengarah Balai Seni Negara Langkawi, Zaslan Zeeha Zainee dalam kenyataannya berkata program yang diberi nama Kem Ilustrasi Botani: Rasa Alam ini berlangsung selama lapan hari bermula 19 Februari yang lalu, bertujuan untuk mengetengahkan kekayaan biodiversiti Pulau Langkawi dan memberi tumpuan kepada flora tempatan yang bukan sahaja menjadi sebahagian daripada ekosistem, malah warisan budaya masyarakat setempat.
Seramai 14 orang seniman hebat yang terlibat dalam menghasilkan karya ilustrasi botani berdasarkan pemerhatian langsung di Hutan Lipur Lubuk Semilang dan Trail Hutan Hujan, Ayer Hangat.

Antara artis yang terlibat ialah Bayu Utomo Radjikin, Dr. Zaimie Sahibil, Dr. Hushinaidi Abdul Hamid, Dr. Zainuddin Abidinhazir @ Abd. Rashid, Zaharuddin Sarbini, Jamal Tommy, Hashim Man, Rohaizad Shaari, M. Aminuddin Osman, Leong Sok Yeng, Yeo Eng Peng, Mohammad Shahrin Dato’ Hj. Shaari, Syahrudin Ishak, dan Abu Shukran Md Salleh.



Sebanyak 28 karya, terdiri daripada 24 karya ilustrasi botani atas kertas, 2 arca, dan 2 animasi AR yang dihasilkan akan dipamerkan di Balai Seni Negara Langkawi bermula 26 Februari hingga 31 Julai ini.
Pameran seni ini agak berbeza dimana ianya bukan sekadar eksplorasi seni malah turut menjadi satu wadah pendidikan yang memperkaya pemahaman tentang hubungan manusia dengan alam.

Orang ramai dan pecinta seni dijemput hadir ke Balai Seni Negara Langkawi untuk lihat sendiri hasil karya seniman yang luar biasa, yang bersatu dengan alam ini 🙂
Pameran bermula 26 Februari hingga 31 Julai 2025.
Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara dan Balai Seni Negara Langkawi atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.