Pelarian: Faktor Penarik Pindah Ke Malaysia

Penghijrahan dan pelarian asing telah menjadi satu fenomena sejagat. Pada suatu masa dahulu, buruh asing lebih banyak tertumpu di Eropah Barat, Amerika dan negara-negara pengeluar utama minyak di Asia Barat. Selepas tahun 1960-an dan 1970-an, keperluan penghijrahan, pelarian dan masalah pendatang asing beralih ke negara-negara Asia Pasifik. Terdapat beberapa faktor pelarian berhijrah ke negara lain.

Faktor Ekonomi

Negara-negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina, Myanmar dan Thailand mempunyai jumlah penduduk yang ramai dan sistem pemerintahan di negara mereka pula tidak membela kehidupan orang-orang miskin. Justeru mereka mengambil peluang untuk berhijrah ke luar negara dengan harapan di negara yang mereka singgah itu boleh mengubah dan membantu kehidupan mereka ke arah yang lebih sempurna.

Sindiket

Ada juga pendatang asing yang datang melalui saluran yang haram. Mereka ini sebenarnya telah digula-gulakan oleh sindiket tertentu dan dieksploit sepenuhnya oleh majikan yang berkehendakkan buruh asing. Kemasukan pendatang asing juga bergantung kepada polisi negara iaitu dasar Malaysia membuka pintu negara seluas-luasnya telah mewujudkan sindiket-sindiket tidak rasmi ‘menjual’ tenaga kerja pekerja Indonesia dan Bangladesh.

Faktor Sejarah

Antara faktor penolak yang menyebabkan pendatang asing berhijrah ke Malaysia. Contohnya negara Kemboja pada awal tahun “80an di bawah pimpinan Khmer Rough, penghijrahan berlaku di sebabkan mahu menyelamatkan aqidah (yang berketurunan Champa) yang rata-ratanya beragama Islam. Mereka telah mengalami penindasan yang sangat hebat oleh pihak kerajaan pada masa itu. Ulama-ulama mereka ramai yang dibunuh, dikurung di dalam kandang babi, disuruh memakan babi, dipaksa murtad, di seksa dengan kejamnya dan pelbagai lagi seksaan yang cukup hebat ke atas mereka. Justeru penghijrahan menjadi wajib bagi umat Islam untuk menyelamatkan keadaan seperti itu. Bagaimanapun, penghijrah tidak seharusnya berniat untuk menetap di tempat lain kerana mereka perlu kembali ke tanah air mereka bagi menebus maruah Islam dan tanah air mereka.

Politik

Ada kepentingan politik dalam pembinaan negara antara pihak-pihak tertentu dengan golongan korporat dan pelabur kerana mereka tidak mampu untuk menyediakan pembangunan sendiri. Mereka terpaksa bersekongkol dengan pemodal atau puak kapitalis untuk mengaut keuntungan seterusnya membantu mengukuhkan kedudukan politiknya tanpa mengira bahawa mereka sebenarnya boleh berdiri dengan sendiri kerana Malaysia kaya dengan bahan mentah, sumber pembangunan dan tenaga kerja yang ramai.