Album Review: Paylark- Grunge: Kuah CampoQ

Album Review: Paylark- Grunge: Kuah CampoQ

Apabila pertama kali melihat dan mendengar Paylark bermain di sebuah gig di PJ, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah betapa lucu dan bersahajanya lirik-lirik mereka.

Paylark dianggotai oleh (dari kiri) : SAN (gitar), KOJIQ (bass), RE (vokal, gitar), KIM (drum)

Paylark ialah band yang mampu menulis sebuah lagu hanya kerana mereka lapar.

Itulah dunia yang cuba dibina oleh Paylark dalam album sulung mereka, Grunge: Kuah CampoQ yang rasmi keluar pada 6 Jun 2026.

“pelaq” ialah satu perkataan slanga dalam loghat Kedah yang sering digunakan sebagai sindiran atau ejekan. Tetapi seperti kebanyakan perkara dalam dunia Paylark, perkataan itu tidak dibiarkan dengan maksud asalnya.

Mereka mengambil perkataan itu, memulasnya, mengherotkannya, lalu melahirkannya semula sebagai “PAYLARK

Daripada detik pertama album ini bermula, pendengar sudah diberikan gambaran yang jelas tentang siapa mereka sebenarnya. Bukan sekadar sebuah band grunge dari Alor Setar, tetapi sekumpulan anak muda yang menjadikan loghat, lawak, kelemahan dan pengalaman hidup mereka sendiri sebagai bahan mentah untuk menghasilkan muzik.

Grunge: Kuah CampoQ mengandungi 8 lagu. Rakaman bermula pada akhir 2025 dan menggunakan konsep ‘raw energy’ dimana mereka merekodkan kesemua lagu dalam masa sehari sahaja. Mereka mengambil DNA grunge Seattle yang kotor dan bising, mencampurkannya dengan kuah tempatan. Lagu ‘lapaQ’ mungkin contoh paling jelas tentang falsafah tersebut.

Menurut singer Re, lagu itu hanya menceritakan tentang seorang anak muda utara yang lapar di Kuala Lumpur, tiada duit tetapi masih mencari nasi kandar. Energi di dalam lagu ini 100% mencerminkan keadaan lapar mereka semua.

Paylark menjadikan cerita tentang mencari nasi kandar kepada satu lagu. Kisah sekumpulan orang muda yang masih cuba mencari tempat di dalam bandar yang jauh lebih besar daripada kampung halaman mereka. Perkara-perkara kecil ini hanya difahami oleh mereka yang pernah meninggalkan rumah untuk mengejar sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri.

Di sinilah album ini paling menyerlah. Paylark tidak menulis tentang revolusi. Mereka menulis tentang lapar. Perkara yang kedengaran kecil tetapi sebenarnya membentuk kehidupan seharian ramai anak muda.

Album Grunge: Kuah Campoq kini boleh distrim melalui page Bandcamp Paylark, manakala lagu ‘lapaQ’ boleh didengari secara eksklusif di radio online MKR.

COMMENTS