10 Haiwan Jangka Hayat Singkat

Setiap benda hidup pasti akan mati. Haa.. sama je macam manusia dan haiwan tapi ada juga perbezaan yang kita perlu tahu. Di dunia, terdapat pelbagai jenis spesis haiwan yang ada tapi, apa yang menariknya.. jangka hayat mereka adalah berbeza. So, jom kita kenali 10 haiwan yang mempunyai jangka hayat yang singkat.

  1. Bunglon (5 tahun)

Bunglon merupakan spesis haiwan yang menarik dengan teknik penyamaran yang sempurna namun memiliki tempoh hayat yang pendek. Bunglon mampu hidup sehingga 5 tahun bergantung kepada beban parasit yang terdapat di dalamnya. Kebanyakan bunglon mengalami kematian pramatang kerana pengumpulan parasit yang bermasalah. Hal ini juga akan menyebabkan tekanan dan dehidrasi yang dapat mengurangkan jangka hayat mereka.

2. Mosquitofish (1.5 tahun)

Merupakan sejenis ikan yang hidup di air tawar. Mosquitofish boleh didapati di bahagian selatan Illinois dan Indiana dan di seluruh sungai Mississippidi. Mosquitofish mampu hidup sehingga 1.5 tahun dan juga boleh bertahan sehingga 3 tahun. Mosquitofish betina akan mengambil masa 30 hari untuk matang, manakala Mosquitofish jantan pula akan mengambil masa selama 60 hari. Sama seperti namanya, Mosquitofish menjadikan larva nyamuk sebagai diet utama mereka.

3. Tikus Rumah (8 bulan)

Merupakan haiwan yang biasa kita lihat di mana-mana sahaja. Tikus rumah juga antara haiwan ternakan dan terdapat lebih 30 spesis tikus rumah yang dikenali sehingga ke hari ini. Tikus ini mempunyai jangka hayat yang pendek iaitu selama 8 bulan sahaja. Kemungkinan besar, tikus rumah ini hidup kurang dari satu tahun kerana faktor cuaca. Salah satu faktor juga kerana sering menjadi mangsa kepada kucing domestik.

4. Pepatung (3 bulan)

Pepatung muncul di bumi sekitar 300 juta tahun yang lalu. Selalu kita lihat, pepatung berada di kawasan hijau dan lebih 5000 spesis pepatung yang direkodkan wujud. Pepatung memiliki jangka hayat yang pendek iaitu sekitar 8 hingga 12 minggu sahaja. Pepatung sering dijumpai mati di lantai disebabkan faktor cuaca atau mungkin jatuh kerana menjadi mangsa kepada pemangsa lain. Sebelum menjadi pepatung, mereka akan menghabiskan separuh daripada usia mereka di peringkat larva. Apabila matang, pepatung tidak akan bertahan disebabkan faktor luaran.

5. Lebah Pekerja (8 minggu)

Kebiasaannya, Lebah Pekerja merupakan lebah betina dan tidak mempunyai kemampuan untuk membiak seperti Ratu Lebah. Lebah Pekerja mampu hidup beberapa minggu hingga beberapa bulan bergantung pada keadaan cuaca luaran. Sebagai tambahan, mereka akan mengekalkan suhu sebanyak 34.4 darjah selsius di dalam sarang bagi proses mengeram telur. Bergantung kepada keadaan cuaca luaran, Lebah Pekerja ini sama ada membawa air masuk ke dalam sarang atau menjana haba badan untuk mengekalkan kehangatan sarang. Kebanyakan Lebah Pekerja dilahirkan pada musim luruh dan akan hidup sehingga musim bunga yang berikutnya.

6. Kupu-Kupu Monarch (6 minggu)

Kupu-Kupu Monarch merupakan spesis kupu-kupu yang tercantik namun sayangnya memiliki jangka hayat yang singkat iaitu selama enam minggu sahaja. Kupu-Kupu Monarch terkenal di Amerika Utara dan mula dijumpai pada tahun 1871 di Australia dan New Zealand. Dengan mempunyai jangka hayat yang pendek, Kupu-Kupu Monarch ini mempunyai kelebihan iaitu mampu terbang beribu-ribu kilometre jika mereka terbang ke arah yang betul ketika melakukan migrasi. Kupu-Kupu Monarch lebih cenderung berhijrah ke Mexico selepas menghabiskan musim panas atau musim sejuk untuk mereka bertahan pada musim bunga lain di kawasan utara.

7. Lalat Rumah (4 minggu)

Lalat Rumah merupakan antara serangga yang sering ditemui di dalam rumah. Lalat Rumah didapati memiliki jangka hayat yang singkat iaitu sekitar 4 minggu bagi seekor lalat yang sudah mencapai dewasa. Dengan mempunyai ukuran 8mm, seekor lalat betina mampu menghasilkan lebih daripada 100 biji telur pada tempoh masa tertentu di atas buangan makanan atau najis. Sepanjang hayat mereka, lalat betina ini juga akan menghasilkan lebih 500 biji telur.

8. Semut Drone (3 minggu)

Terdapat lebih daripada 12, 500 spesies Semut Drone sehingga ke hari ini. Spesis serangga ini boleh ditemui di setiap pelusuk dunia kecuali Antarctica. Semut Drone ini terdiri daripada semut jantan sahaja dalam koloninya. Semut Drone lahir daripada telur yang tidak disenyawakan. Mereka tidak seperti semut biasa dan tidak melakukan sebarang tugasan untuk sarang mereka. Semut Drone ini mampu hidup dalam tempoh masa yang singkat iaitu sekitar 3 minggu sahaja. Mereka juga antara kasta di dalam seluruh koloni semut yang membezakan di antara ratu, tentera dan pekerja.

9. Gastrotrich (3 hari)

Ianya kelihatan seperti Mikroorganisma, tetapi bukan. Gastrotrich adalah haiwan mirip hampir sama seperti cacing mikroskopik yang terdapat di kawasan air tawar dan kawasan laut. Gastrotrich mempunyai saiz sekitar 3mm panjang dan mempunyai jangka hayat selama tiga hari sahaja. Kebiasaannya, Gastrotrich akan memakan organisma hidup dan organisma mati. Haiwan ini juga mempunyai bentuk tubuh yang sangat asas dan hanya terdiri daripada kepala, otak, usus, organ reproduktif dan deria. Gastrotrich dikatakan mampu bertahan di dalam kolam kering dan kawasan takungan air yang tidak mengalir.

10. Mayfly (24 jam)

Mayfly dianggap sebagai haiwan yang mempunyai jangka hayat yang paling singkat di bumi iaitu hanya 24 jam sahaja. Mayfly dikategorikan di dalam haiwan akuatik dan juga spesis pepatung. Mayfly yang berbentuk separa sempurna ini kebiasaannya hidup di kawasan akuatik iaitu di dalam air tawar yang bersih. Sebagai tambahan, Mayfly diiktiraf sebagai “Nimfa”. Rata-rata 3000 spesis yang diketahui di bawah Mayfly ini akan hidup sekitar 30 minit hingga 24 jam sahaja. Mayfly tidak mempunyai mulut dan mereka hidup hanya bertujuan untuk pembiakan sahaja.