Festival Hantu!

 

Perayaan hantu lapar ataupun lebih dikenali sebagai Hungry Ghost Festival adalah sebuah perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Buddha, Tao dan Konfucius. Menurut kepercayaan Taoism, pada bulan ketujuh (Bulan Hantu) dalam tahun lunar, pintu neraka akan dibuka dan membolehkan semua roh untuk turun ke dunia nyata dan pada tahun ini, Hungry Ghost Festival ini jatuh pada hari  Khamis, 15 Ogos 2019.

Pada tanggal 15hb atau dipangil sebagai YuLan (Hari Hantu)  adalah tanggal dimana, roh-roh yang tidak tenang akan berkeliaran di dunia, dan orang cina akan menyediakan makanan bagi menenangkan roh-roh tersebut. Semasa pesta ini berlangsung, mereka akan membakar wang palsu dan menyediakan makanan di atas meja kepada hantu-hantu yang kelaparan sebagai satu simbolik kepada hantu-hantu dan nenek moyang mereka untuk kegunaan di alam selepas mati.

Mereka juga akan membakar colok, kertas sembahyang dan mengadakan persembahan opera cina. Persembahan ini adalah bertujuan untuk memberikan hiburan kepada roh-roh yang dahagakan hiburan seperti mana ketika hayat mereka masih ada.

 

Di Malaysia, perayaan hantu ini dimodenkan sedikit kerana opera cina tidak lagi dilakukan sebaliknya digantikan dengan persembahan seakan-akan konsert dan agak berbeza dengan Pesta Hantu di negara lain. Di Malaysia, persembahan pentas ini dikenali sebagai ‘Koh-Tai’ yang dipersembahkan oleh sekumpulan penyanyi, penari dan penghibur lain di atas pentas. Pesta ini diadakan khas untuk menenangkan hantu-hantu dan roh-roh orang mati yang tidak mendapat ketenangan agar hantu-hantu ini tidak menimbulkan sebarang kekacauan yang boleh menganggu kehidupan mereka.