Salam Pantai Timur, satu inisiatif anak-anak seni dari Pahang, Kelantan dan Terengganu yang berusaha membawa suara muzik pantai timur ke pentas luar negeri mereka. Edisi kali ini berlangsung di Mugo x Masterpiece, Melaka pada 4 Oktober 2025, menampilkan lima band: The Puberties (Kelantan), Finks (Pahang), Dissonance (Kelantan), Pok Pang (Kelantan) dan The Tune Lari (Terengganu).
Sama seperti anak muda pantai timur yang berhijrah ke kota besar untuk mencari rezeki, band-band ini juga perlu merantau ke seluruh semenanjung demi satu perkara: peluang untuk perform. Di kawasan asal mereka, ekosistem muzik masih belum kukuh, kurangnya show/gig, kekangan lokasi, permit dan persepsi konservatif masyarakat terhadap muzik alternatif menjadi antara sebab utama kenapa gig jarang diadakan di pantai timur.
Menurut penganjur, Salam Pantai Timur bukan sekadar gig, tetapi tour komuniti yang memberi ruang dan pendedahan kepada band-band pantai timur untuk menunjukkan identiti muzik mereka kepada khalayak yang lebih luas terutama sekali orang muda. Ia juga menjadi jambatan antara komuniti muzik di setiap negeri, menolak sempadan dan membuka peluang baru.
MyKampus Radio berharap usaha ini akan berterusan, agar lebih ramai sedar bahawa orang muda di pantai timur juga punya muzik yang bernyawa, jujur, dan unik.
Bagi yang terlepas persembahan di Melaka, jangan risau, gig ‘ngelah’ Salam Pantai Timur akan berlangsung di ‘Shah Aley’, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 25 Oktober 2025. untuk pembelian tiket dan informasi lebih lanjut, korang boleh pergi terus ke @salampantaitimur di Instagram dan TikTok.


