Perpaduan di Malaysia


PERAYAAN UNIK MASYARAKAT CINA

Hari Chap Goh Mei

Hari Chap Goh Mei disambut pada hari terakhir Tahun Baru Cina. Ia jatuh pada hari ke-15 pada bulan 1 mengikut kalendar Cina. Untuk kaum wanita yang belum berkahwin, mereka digalakkan menulis nama dan nombor telefon di atas limau dan dibuang ke dalam sungai manakala kaum lelaki yang masih bujang pula boleh mengutip limau yang dibuang. Ini tradisi mereka untuk mencari jodoh.

Pesta Chingay

Perayaan Chingay merupakan perayaan kemuncak Cap Goh Meh. Perayaan ini disambut setiap tahun pada hari ke-21, bulan pertama kalendar Lunar Cina. Chingay merupakan acara agama dan acara budaya tradisi Tiong Hua.

Hari Cing Ming / Chen Beng

Perayaan ini penting untuk mengenang nenek moyang yang telah meninggal dunia. Anak-anak, cucu-cicit akan membawa makanan, buah-buahan, kertas-kertas wang ke kubur dan membersihkan kubur nenek moyang mereka. Masyarakat Cina percaya bahawa kertas wang tersebut akan bertukar menjadi duit di alam yang lain.


BABA NYONYA

 

Baba dan Nyonya adalah segolongan keturunan kaum Cina yang unik dimana kebanyakan mereka banyak menetap di Negeri-negeri Selat khususnya Melaka. Bagaimanapun, sebahagian mereka enggan mengakui bahawa mereka adalah orang Cina tetapi sebaliknya mendakwa bahawa mereka adalah rakyat British.

Mereka memanggil diri mereka sebagai “Baba” kerana kebudayaan mereka yang berasal daripada warisan tradisi Cina dan mempunyai unsur-unsur pengaruh kebudayaan Melayu. Penyesuaian dan serapan budaya mereka terhadap suasana sosio budaya di persekitaran mereka di zaman silam iaitu melalui perkahwinan campur yang berlaku diantara kaum Cina dan Melayu.


KUMPULAN ORANG ASAL TERBESAR DI MALAYSIA

1. Senoi

 

Istilah “senoi” diambil daripada perkataan etnik Semai atau Temiar ‘sen-oi’ atau ‘seng-oi’ yang membawa makna ‘orang’. Mereka mendiami kawasan tengah dan utara Semenanjung Malaysia. Dua suku terbesar iaitu Semai dan Temiar mendiami kawasan sekitar Perak serta sempadan negeri Selangor. Dalam sejarah kesultanan Melayu zaman dahulu, mereka akan diberikan gelaran tertentu untuk digunakan seperti Tok SInga Merban atau Tok Maharaja bagi menandakan kedudukan mereka di kalangan masyarakat.

2. Orang Melayu Asli/Melayu Proto

 

Kumpulan Melayu Proto boleh dibahagikan kepada 6 etnik kecil iaitu Jakun, Temuan, Semelai, Kuala, Kanaq dan Seletar. Daripada 6 kumpulan ini, mereka boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan lebih kecil berdasarkan cara hidup mereka. Melayu-Proto dikatakan datang daripada kawasan pertengahan Asia sekitar kawasan Yunnan sekarang, melalui Indo-China sebelum sampai ke Semenanjung Malaysia sekitar 2,500 tahun dahulu.

 

3. Orang Semang atau Negrito

 

Walaupun kumpulan ini merupakan kumpulan terkecil orang asal yang masih ada di negara kita, mereka adalah kelompok paling awal menetap di sini, bermula sekitar 25,000 tahun dahulu. Kumpulan ini lebih gemar menetap di kawasan-kawasan terpencil di sekitar utara dan tengah Semenanjung Malaysia.

 


RUSUHAN 13 MEI

Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah insiden rusuhan kaum yang berlaku dan merupakan kemuncak kepada masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini telah meragut nyawa seramai 196 orang dan 211 kenderaan musnah. Negara juga diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969. Dengan pengisytiharan ini, Perlembagaan Persekutuan telah digantung. Negara pula diperintah secara terus oleh Yang Dipertuan Agong dibawah undang undang tertera. Dalam pada itu, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman telah menarik diri dari mengetuai majlis tersebut. Tempat beliau telah digantikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak. Berikutan itu, parlimen juga digantung.


"loghat" malaysia

Loghat ataupun dialek adalah satu bahasa yang mudah difahami bagi sesuatu tempat. Antara loghat yang terdapat di Malaysia adalah seperti :

  • Loghat Perak (“Teman maghah beno dengan mike ni!”) 
  • Loghat Utara seperti di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (“Mak ni hari-hari duk buat kari, cemuih la.”)
  • Loghat Pahang (“Pepalih awok nyape buat gitu.”)
  • Loghat Kelantan (“Lamoke buleh pekdoh mu ni”)
  • Loghat Terengganu (“Biarlah mung nok kata mende pung”)
  • Loghat Sabah (“Bagus kau tinggal sama-sama itu karabau sana. Bikin takanan betul!”)
  • Loghat Sarawak (“Iboh kitak berkaul gilak makan”)
  • Loghat Johor (“Man, tolong amik gebar dalam gerobok tu”)
  • Loghat Melaka (“Oi lahabau! Kau dah godak air ni tak?”)
  • Loghat Negeri Sembilan (“Anak sapo la yang bogik bonar ni!”)


Etnik lun bawang

Suku kaum “Lun Bawang” berasal dan tinggal di kawasan pedalaman tanah tinggi Borneo iaitu Kalimantan Utara, Brunei, Sabah dan Sarawak.

Di Sarawak mereka digolongkan dalam kelompok masyarakat Orang Ulu manakala di Sabah ianya lebih dikenali sebagai Murut Kolor atau Murut Sipitang. Sejarah mengatakan orang Lun Bawang ini berasal dari Tanah Tinggi Kelabit, Tanah Tinggi Krayan dan Gunung Murud di Lawas. Pada seketika dahulu, Lun Bawang dan Tagal juga dikenali sebagai Murut sempena nama Gunung Murud yang tertinggi di Sarawak dan terletak di Utara Sarawak.


ETNIK RUNGUS

Rungus merupakan salah satu dari suku kaum di Sabah dan juga merupakan salah satu penduduk asli kepulauan Borneo. Rungus berasal dari perkataan Rungsud iaitu nenek moyang suku kaum Rungus yang berhijrah dari kawasan Nunuk Ragang ke pesisiran pantai di Semenanjung Kudat, Teluk Marudu, Pitas, beluran dan Telupid.

Rungus juga mempunyai bahasa yang hampir sama dengan bahasa Dusun di Sabah dan bahasa Tagalog yang ada di Filipina. Berdasarkan penelitian seni arkitektur dan bahasa suku kaum Momogun Rungus, ia dengan jelas menunjukkan bahawa masyarakat Momogun Rungus mempunyai kesamaan dengan sistem kebudayaan Dayak.


etnik lotud

Lotud merupakan salah satu kumpulan etnik yang tinggal di Sabah, Malaysia Timur di pulau Borneo. Mereka tinggal terutamanya di daerah Tuaran dan Telipok di Bahagian Pantai Barat Sabah. Penduduk mereka dianggarkan sebanyak 5,000 pada tahun 1985 tetapi kini dipercayai telah menjadi lebih daripada 20,000. Keluarga bahasa Dusun merupakan salah satu cabang bahasa Melayu-Polinesia, yang merupakan cabang bahasa Austronesia. Hampir semua suku kaum ini menganut agama Katolik dan beberapa agama Kristian evangelis, dengan bilangan yang sedikit masih mengamalkan animisme.


kaum tidung

Suku kaum Tidung adalah suku kaum rumpun Melayu yang banyak terdapat di bahagian tenggara Sabah iaitu sekitar daerah Tawau dan Sebatik. Antara suku kaum Melayu Tidung yang begitu dikenali di Tawau ialah Tidung Apas, Tidung Indrasabah, Tidung Membalua, Tidung Kalumpang, Tidung Pasir Putih, Tidung Merotai dan Tidung Kalabakan. Terdapat juga ramai suku kaum Tidung di beberapa kawasan di Sandakan seperti di Beluran dan Labuk.

Asalnya Tanah Tidung yang dimaksudkan adalah mencakupi kawasan dari daerah Beluran di Sandakan seterusnya di kawasan Batu Tinagat di sebelah timur Tawau ( bersama masyarakat Suluk ) hingga ke Apas dan ke sebelah barat Tawau di Merotai dan Kalabakan dan bersambung hingga ke Kalimantan Timur termasuklah Nunukan, Tarakan, Tanjung Selor ( bersama masyarakat Bulungan ), Sesayap, Sembakung sehinggalah sejauh ke daerah pedalaman di Melinau. 


BUDAYA "BURUNG PETALA"

Tahukah anda, sebelum kedatangan Islam di Kelantan, mereka ada menjalankan satu perarakan untuk meraikan golongan bangsawan Kelantan. Perarakan ini dikenali sebagai “Perarakan Burung Petala”. Budaya ini diadaptasi dari budaya perarakan di Tanah Besar China. Mereka akan diarak di atas kenderaan yang dihias dengan hiasan berbentuk burung Petala yang juga dikenali sebagai burung Jentayu.

Dikatakan, pembesar dari daerah lain yang datang ke negeri Kelantan ini perlu disambut seperti dewa dan kemudian akan diarak ke seluruh negeri Kelantan dengan suasana yang meriah.Bukan itu sahaja, mereka juga percaya kenderaan burung Petala ini ada semangat yang perlu dijaga sekiranya ia tidak digunakan dan perlu ditempatkan di ruangan khas. Namun, upacara ini telah pun diberhentikan selepas penyebaran agama Islam secara luas di negeri Kelantan. Upacara ini juga hanya pernah dilakukan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1919, 1923 dan 1933.


ADAT "BERIAN SAMPAI MATI"

Walaupun masih lagi diamalkan namun ada segelintir masyarakat yang sudah tidak mengamalkan adat ini kerana mereka berpendapat bahawa tradisi ini sudah tidak lagi sesuai untuk diamalkan pada zaman moden ini. Adat berian sampai mati ini bermaksud mas kahwin yang boleh dituntut oleh pihak keluarga perempuan dari pihak lelaki dari mula mereka berkahwin sehinggalah ke akhir hayat.

Definisi mas kahwin yang kita semua faham sekarang ini adalah jika pihak perempuan meminta mas kahwin sebanyak tiga puluh ribu maka ianya akan diberikan sekali sahaja. Berbeza dengan adat ini, pihak lelaki perlu bagi apa yang diminta oleh keluarga pihak perempuan sehingga akhir hayat, sama ada berbentuk wang ringgit, pakaian, atau berbentuk pertolongan lain.

Pihak lelaki harus cuba sedaya upaya untuk memenuhi segala permintaan itu. Dan, bukan ibu bapa pengantin perempuan sahaja yang boleh meminta bantuan tapi saudara pengantin perempuan yang lain juga boleh menuntut berian sampai mati daripada pengantin lelaki itu.

Orkestra cina

Bagi yang tertanya-tanya, Orkestra Cina adalah persembahan terkenal dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia. Menariknya, persembahan ini menggabungkan muzik elemen China dan Barat. Persembahan ini menggunakan instrumen tradisional Cina seperti Erhu, Pipa dan Dulsimer malah ianya turut menggunakan gubahan lagu-lagu tradisional masyarakat Cina dan lagu rakyat masyarakat Melayu serta diselitkan dengan muzik barat secara kotemperari.

KOLATTAM

Tarian Kolattam  merupakan salah satu seni persembahan tarian tradisional yang popular di kalangan masyarakat India. Perkataan “Kolattam”  membawa maksud “tarian kayu” dimana ianya menggambungkan dua perkataan Tamil iaitu “Kol” yang membawa maksud kayu pendek, manakala “attam” adalah tarian. Antara tiga instrumen utama yang digunakan ketika tarian ini dipersembahkan ialah Thavil, Pambai dan Urumi. Selain itu, minima penari adalah 4 orang dan maxima seramai 20 orang penari. Ini kerana, mereka perlu menari secara berpasangan.

thirumanam

Thirumanam bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara pasangan. Ada tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu “Vaitikat Thirumanam”, “Tamil Thirumanam” dan “Diya Thirumanam”. Perkahwinan ini akan mengikut suku yang ada dalam masyarakat India. Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan di bahagian atasnya, menuang air susu kedalamnya, memberi sirih, basuh kaki ibu bapa, memberi dhoti dan sari kepada mertua serta wang.

UPACARA KOLLIC CATTI

Kollic Catti bermaksud periuk tanah liat yang mengandungi api. Periuk itu diangkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk. Kollic Catti akan dibawa oleh ahli keluarga si mati, orang yang bertanggungjawab membawa periuk tanah liat itu adalah anak atau bapa si mati.

Anak sulung akan lakukan tradisi ini untuk bapa yang meninggal dunia dan jika ibu yang meninggal dunia, anak bongsu yang akan lakukan tradisi ini. Mereka akan membawa Kollic Catti mengiringi mayat. Sebelum itu, pembawa Kollic Catti ini perlu mencukur rambut untuk menunjukkan bahawa mereka akan hidup lebih bahagia seperti rambut baru yang akan tumbuh.